'Kenapa sanggup bunuh anak saya?'

SHAH ALAM – Seorang ibu tidak mampu menahan kesedihan selepas anak lelakinya menjadi mangsa pembunuhan kejam dalam satu kejadian di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas pada 21 Mei lalu.
Suri rumah, K Devi, 52, meluahkan rasa pilu sambil mempersoalkan tindakan kejam pihak yang sanggup meragut nyawa anaknya.
“Kenapa sanggup bunuh anak saya? Jika ada rasa tidak puas hati atau dendam sekalipun, kenapa perlu bertindak sekejam itu terhadap dia?” katanya.
Mangsa, R Arun Kumar, 22, dilaporkan maut dipukul sekumpulan individu yang dipercayai mempunyai kaitan dengan kumpulan kongsi gelap di hadapan sebuah kedai makan di Pekan Nanas, Pontian, Johor pada 21 Mei lalu.

Menurut Devi, mendiang merupakan seorang anak yang pendiam dan tidak banyak bercakap, namun sangat mengambil berat terhadap keluarga.
Katanya, kehilangan itu bukan sahaja meragut nyawa anak kesayangannya, malah memusnahkan segala impian yang dibina bersama keluarga.
“Pemergiannya benar-benar memberi tamparan besar kepada kami sekeluarga. Saya masih trauma dan sukar menerima apa yang berlaku,” katanya.
Sepupu mangsa, K. Shantiya, 26, berkata, sehingga kini keluarganya masih sukar menerima kehilangan Arun yang disifatkan sebagai seorang yang baik hati, pendiam dan tidak pernah mencari masalah.
Menurutnya, semua yang mengenali mangsa mengetahui Arun lebih gemar mengelak daripada terbabit dalam sebarang perselisihan.
"Dia tidak pernah mencari masalah atau sengaja mencetuskan pergaduhan, dia sentiasa murah dengan senyuman dan memilih untuk berdiam diri jika diperlakukan secara tidak adil.
"Paling saya sedih, dia paling tidak suka melihat pergaduhan, tetapi akhirnya dia sendiri menjadi mangsa keganasan," katanya pada Khamis.
Shantiya berkata, mangsa menghidap penyakit jantung kongenital sejak kecil dan pernah menjalani pembedahan di Institut Jantung Negara (IJN).
Katanya, keadaan kesihatan itu menyebabkan Arun perlu menjalani pemeriksaan berkala setiap tahun di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru serta tidak mampu bekerja seperti kebanyakan rakan seusianya.
Menurutnya, keluarga juga tidak mengetahui mangsa keluar ke Pontian pada malam kejadian kerana kebiasaannya Arun akan memaklumkan terlebih dahulu setiap kali meninggalkan rumah.
"Kami sangka dia akan pulang seperti biasa. Tiada siapa menyangka perjalanan keluar rumah pada malam itu menjadi detik kali terakhir kami melihatnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

