UMNO tidak tawar habuan kepada dua ADUN Bersatu keluar parti

Ahmad ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Parti Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada pada Ahad.
Ahmad ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Parti Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada pada Ahad.
A
A
A

ISKANDAR PUTERI - UMNO tidak menawarkan sebarang habuan kepada dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) untuk keluar daripada parti itu.

Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kedua-dua mereka mengambil keputusan keluar Bersatu atas kerelaan sendiri tanpa dipaksa atau disuruh mana-mana pihak.

"Mereka membuat keputusan itu (keluar Bersatu) dengan sukarela dan suci hati tanpa kami janjikan apa-apa. Itu kehendak mereka yang mahu menyokong Menteri Besar Johor (Datuk Hasni Mohammad) dan Barisan Nasional (BN)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Perjumpaan Bersama Parti Makkal Sakti Malaysia di Hotel Granada, di sini pada Ahad.

Turut hadir, Presiden Makkal Sakti, Datuk Seri R S Thanenthiran; Pengerusi Makkal Sakti Johor, Datuk Seri Dr M Suriya dan Ketua Pemuda UMNO Johor, Mohd Hairi Mad Shah.

Sebelum ini, bekas ADUN Puteri Wangsa, Mazlan Bujang dan bekas ADUN Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan keluar Bersatu serta-merta pada Rabu dan Sabtu kerana hilang kepercayaan terhadap kepimpinan tertinggi parti itu, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Kedua-dua mereka yang masing-masing merupakan Exco Pendidikan, Penerangan, Warisan dan Budaya serta Exco Pelaburan, Pembangunan Usahawan, Koperasi dan Sumber Manusia Negeri Johor turut memberitahu tidak meyakini hala tuju parti berkenaan.

Mengulas lanjut, Ahmad berkata, UMNO juga tidak menerima sebarang permohonan daripada kedua-dua ADUN berkenaan untuk menyertai UMNO.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun Ahli Parlimen Pontian itu berkata, UMNO tetap berterima kasih atas sokongan mereka terhadap BN dalam PRN Johor.

Malah beliau tidak menolak kemungkinan ada ADUN Bersatu lain akan mengikut jejak langkah Mazlan dan Mohd Izhar dalam menyatakan sokongan terhadap BN menjelang PRN Johor.

"Sama ada akan terdapat ADUN lain itu kita perlu tunggu dan lihat. Jadi untuk rakan-rakan di luar sana, jika ahli Bersatu yang merupakan antara individu terawal penubuhan parti pun keluar parti, jadi pandai-pandailah buat rumusan," katanya.