Mohd Izhar sah tinggalkan Bersatu

Mohd Izhar pada sidang media di Hotel DoubleTree By Hilton di sini, pada Sabtu.
Mohd Izhar pada sidang media di Hotel DoubleTree By Hilton di sini, pada Sabtu.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Larkin, Datuk Mohd Izhar Ahmad mengumumkan secara rasmi meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), berkuat kuasa serta merta.

Mohd Izhar berkata, keputusan itu dibuat dengan berat hati selepas melihat Bersatu tidak menjadi parti berpegang kepada agenda penubuhannya selain sudah hilang hala tuju.

“Pada hemat saya, Presiden Bersatu (Tan Sri Muhyiddin Yassin) bukan sahaja gagal membawa parti ke tahap lebih baik, malah tidak berusaha memulihkannya selepas berpisah dengan kumpulan Tun Dr Mahathir Mohamad.

"Sikap seperti ini bukan sahaja merencatkan perkembangan parti malah menjejaskan ideolisme perjuangan parti, sekali gus memberi kesan kepada rakyat, khususnya orang Melayu dan kepentingan Islam,” katanya pada sidang media khas di Hotel DoubleTree By Hilton di sini, pada Sabtu.

Keputusan itu menyaksikan Mohd Izhar menjadi orang kedua selepas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa, Mazlan Bujang mengumumkan meninggalkan parti dan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau, pada Khamis.

Sebelum ini, dalam satu sidang media, Mazlan memaklumkan akan ada beberapa lagi pemimpin dari Bersatu yang akan mengikut jejaknya keluar dari parti berkenaan.

Dalam pada itu, Mohd Izhar berkata, pihaknya juga akan mengambil pendekatan ‘berehat’ dan tidak mempertahankan kerusi DUN Larkin yang dimenanginya pada pilihan raya umum (PRU) ke-14.

“Faktor utama saya meninggalkan Bersatu kerana saya hilang kepercayaan kepada Presiden. Saya akan meninggalkan kerusi DUN Larkin dan tidak akan bertanding pada mana-mana kawasan dalam PRN kali ini.

Artikel Berkaitan:

“Saya percaya demi kestabilan politik dan kemajuan negeri Johor, Barisan Nasional (BN) perlu diberi laluan untuk kembali memerintah dan menyelesaikan kemelut ekonomi yang berlaku kini,” katanya.