[VIDEO] Mazlan Bujang umum keluar Bersatu

Mazlan ketika sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru pada Khamis.
Mazlan ketika sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan Johor, Johor Bahru pada Khamis.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMAS KINI] Ketua Bahagian Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) Tebrau, Mazlan Bujang mengumumkan keluar parti dan meletak jawatan ketua bahagian berkuat kuasa serta-merta.

Bagaimanapun, Mazlan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Puteri Wangsa dan bekas Pengerusi Bersatu Johor menyatakan tidak menyertai mana-mana parti setakat ini, namun menyokong Barisan Nasional (BN).

"Saya mengambil keputusan untuk meletakkan jawatan sebagai Ketua Bersatu Bahagian Tebrau berkuatkuasa serta merta dan keluar parti. Turut sama meletakkan jawatan ialah Setiausaha Bersatu Bahagian serta pegawai dan beberapa ahli jawatankuasa bahagian Tebrau.

"Saya juga mengisytiharkan bahawa saya kini tidak menjadi ahli mana mana parti tetapi menyokong BN," katanya ketika sidang akhbar di Kompleks Yayasan Warisan Johor di sini pada Khamis.

Turut menyertai sidang akhbar tersebut 23 ketua cawangan dan Ahli Jawatankuasa Bahagian Bersatu Tebrau.

Mazlan yang juga bekas Exco Kebudayaan, Pendidikan, Warisan dan Penerangan berkata, sokongan turut diberikan kepada Datuk Hasni Mohammad sebagai Menteri Besar.

"Saya juga mengambil pendirian menyokong Datuk Hasni Mohamad sebagai Menteri Besar untuk memimpin semula negeri Johor dan mewujudkan kestabilan politik demi masa depan yang lebih baik untuk rakyat Johor.

"Keputusan ini saya buat berdasarkan keperluan untuk mewujudkan semula kerajaan negeri yang stabil, kepimpinan yang diyakini dan juga berdasarkan kegagalan dua kepimpinan menteri besar sebelum ini mentadbir negeri Johor dengan baik.

"Bersatu dan Pakatan Harapan ( PH) Johor juga dilihat gagal mengemukakan calon menteri besar yang layak mentadbir negeri ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Justeru, Mazlan menyeru kepada semua ahli dan penyokong Bersatu untuk bermuhasabah diri dan menyokong Datuk Hasni Mohamad serta BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor pada kali ini.