Kelantan tingkat capaian internet 200 lokasi

Ahmad (tengah) merasmikan Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji, Selising, Pasir Puteh pada Ahad.
Ahmad (tengah) merasmikan Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji, Selising, Pasir Puteh pada Ahad.
A
A
A

PASIR PUTEH - Kerajaan Kelantan akan mempertingkatkan tahap capaian internet di 200 lokasi di seluruh kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang berdepan dengan masalah tersebut.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, 200 lokasi itu telah dikenal pasti tidak mempunyai capaian internet termasuklah yang disediakan oleh syarikat telekomunikasi.

"Selain itu, kita akan memasang alat pemancar di 50 buah sekolah seliaan Yayasan Islam Kelantan (YIK).

"Pelajar-pelajar tersebut memerlukan capaian internet bagi melancarkan sesi pembelajaran," katanya selepas merasmikan Pelancaran Perkhidmatan Internet Satelit Luar Bandar (PeSAT) di Jeram Mengaji, Selising di sini pada Ahad.

Hadir sama, Exco Pembangunan Insan, Pendidikan, Pengajian Tinggi, Sains dan Teknologi, Datuk Dr Mohd Fadzli Hassan.

Ahmad berkata, perkhidmatan berbayar yang disediakan itu melalui kerjasama agensi kerajaan negeri menerusi Kelantan ICT Gateway dengan Syarikat Binanet.

Menurutnya, bayaran tersebut akan ditentukan oleh pihak penyediaan perkhidmatan dalam bentuk harian dan bulanan.

Jelasnya, Kelantan ICT Gateway bertindak sebagai penyedia kepada kemudahan infrastruktur sahaja.

Artikel Berkaitan:

"Selain itu, tahap internet 18 lokasi perkampungan orang asli di Gua Musang turut dipertingkatkan menerusi sokongan dari Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Kemudahan ini selari dengan pelan hala tuju informasi teknologi maklumat (ICT) Kelantan sepanjang tempoh tujuh tahun bermula 2019 hingga 2025," katanya.