Empat dikompaun lepas ternakan di tempat awam

Lembu yang ditangkap dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut untuk mencegah haiwan berkenaan tidak berkeliaran di kawasan awam demi kebaikan semua pihak. - Foto Facebook MPKS
Lembu yang ditangkap dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut untuk mencegah haiwan berkenaan tidak berkeliaran di kawasan awam demi kebaikan semua pihak. - Foto Facebook MPKS
A
A
A

KUALA SELANGOR - Empat pemilik haiwan ternakan dikompaun kerana melepaskan lembu dan kambing di kawasan yang tidak dibenarkan di beberapa daerah di sini, pada Khamis.

Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) menerusi satu hantaran di Facebook memaklumkan, pihaknya menjalankan operasi pemantauan dan penangkapan haiwan ternakan di kawasan laluan awam dan perumahan di Bestari Jaya, Ijok dan Jeram, di sini.

Menurut hantaran tersebut, sebanyak dua ekor lembu di kawasan Jeram dan dua ekor kambing di kawasan Bestari Jaya, di sini berjaya ditangkap dan disita.

"Kompaun turut dikeluarkan kepada empat pemilik ternakan di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971 kerana melepaskan lembu dan kambing di kawasan yang tidak dibenarkan.

"Kesemua haiwan tersebut dibawa ke Pusat Kurungan Haiwan MPKS untuk tindakan lanjut untuk mencegah haiwan peliharaan seperti lembu, kerbau dan kambing tidak berkeliaran di kawasan awam demi kebaikan semua pihak terutama para pengguna jalan raya," kata hantaran tersebut.

Dalam pada itu, MPKS turut mengingatkan pemilik ternakan bahawa pihaknya boleh mengurung haiwan yang ditangkap dan disimpan di suatu tempat kurungan khas atas risiko pemunya atau penjaga lembu-kerbau sehingga kos tangkapan, kurungan serta memberi makan ternakan dibayar mengikut jumlah yang ditetapkan.

Ujarnya, pemilik kemudiannya boleh menuntut kembali haiwan ternak tersebut di bawah Seksyen 4(4) Enakmen Mengawal Lembu-Kerbau 1971.

"Seksyen 13 Enakmen yang sama memberikan kuasa kepada pihak berkuasa tempatan (PBT) untuk menjalankan pendakwaan di mahkamah ke atas mana-mana pemunya, penjaga kerana melanggar mana-mana peruntukan di dalam enakmen tersebut.

Artikel Berkaitan:

"Operasi ini dijalankan dengan kerjasama Polis Kuala Selangor dan masyarakat disarankan untuk menyalurkan aduan berkaitan perkhidmatan MPKS secara dalam talian di selangor.spab.gov.my atau hubungi 03-3289 1439," katanya.