Ikut jadual perjalanan elak kesesakan

Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT1, Anih Berhad meminta pengguna yang mahu pulang ke Pantai Timur mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan sempena perayaan Tahun Baru Cina, Selasa ini yang dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku kesesakan. - Gambar hiasan
Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dan LPT1, Anih Berhad meminta pengguna yang mahu pulang ke Pantai Timur mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan sempena perayaan Tahun Baru Cina, Selasa ini yang dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku kesesakan. - Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Syarikat konsesi Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak (KLK) dan Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 (LPT1), Anih Berhad pada Khamis meminta pengguna yang mahu pulang ke Pantai Timur mengikuti jadual cadangan waktu perjalanan sempena perayaan Tahun Baru Cina, Selasa ini yang dikeluarkan bagi mengelakkan berlaku kesesakan.

Pengurus Besar Kanannya, Radzimah Mohd Radzi berkata, ia kerana syarikat menjangkakan jumlah trafik yang agak tinggi memandangkan inilah kali pertama sejak dua tahun lalu masyarakat Cina di Malaysia dibenarkan untuk merentas negeri bagi menyambut perayaan tersebut bersama keluarga tercinta.

Menurutnya, cadangan itu bagi pengguna yang masuk ke Plaza Tol Gombak dari Kuala Lumpur atau Selangor dari 29 hingga 31 Januari ini.

Katanya, bagi mereka yang menuju ke Pahang dan Terengganu, opsyen pertama waktu perjalanan adalah antara jam 5 hingga 9 pagi manakala opsyen kedua antara jam 5 petang hingga 8 malam.

"Untuk pengguna yang mahu ke Kelantan, pilihan pertama perjalanan adalah jam 11 pagi hingga 2 petang dan pilihan kedua pada jam 7 petang hingga 10 malam.

"Bagi perjalanan ke semua destinasi pula waktu perjalanan bebas antara jam 12 tengah malam hingga 5 pagi," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.

Beliau berkata, waktu perjalanan bas ekspres ke destinasi Pantai Timur memasuki Tol Gombak adalah antara 9.30 pagi sehingga 12 tengah hari dan 9.30 malam sehingga 12 tengah malam dan disebabkan itu kenderaan ringan disaran elakkan memasuki Plaza Tol Gombak pada waktu tersebut.

Artikel Berkaitan:

Jadual cadangan waktu perjalanan sempema Tahun Baru Cina yang dikeluarkan Anih Berhad.
Jadual cadangan waktu perjalanan sempema Tahun Baru Cina yang dikeluarkan Anih Berhad.

Radzimah memberitahu, pihaknya turut mencadangkan dua opsyen waktu perjalanan kembali semula ke ibu kota dan Selangor kepada pengguna iaitu pada 2 hingga 6 Februari depan.

Jelasnya, bagi pengguna dari Pahang yang masuk di semua plaza waktu perjalanan pada jam 6 hingga 10 pagi dan 7 malam hingga 11 malam.

"Pengguna dari Terengganu yang masuk di Plaza Tol Jabor pula disarankan bergerak antara 8 pagi hingga 11 pagi atau 8 malam hingga 10 malam.

"Mereka dari Kelantan yang masuk menerusi Plaza Tol Bentong disyorkan melakukan perjalanan antara jam 6 petang ke 9 malam atau 11 malam hingga 12 tengah malam," ujarnya.

Menurut beliau, Anih Berhad juga telah mengagihkan jadual cadangan waktu perjalanan bersama 1,400 penutup muka sejak 25 Januari lalu di plaza tol sepanjang KLK dan LPT1 bagi memberikan maklumat awal kepada para pengguna.

"Pengguna lebuh raya yang merancang untuk melakukan perjalanan ke Pahang, Terengganu dan Kelantan disarankan melakukan perjalanan seperti jadual cadangan berkenaan.

"Kami juga telah meningkatkan kekerapan jadual sanitasi dan pembersihan di semua kemudahan awam di hentian rehat dan rawat (R&R) dan hentian sebelah di sepanjang lebuh raya serta memastikan kepatuhan ketat kepada prosesur operasi standard (SOP) pergerakan yang telah digariskan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Majlis Keselamatan Negara (MKN) demi menyokong usaha mengurangi penularan wabak Covid-19," ujarnya lagi

Katanya, semua pengguna jalan raya juga dinasihatkan untuk memastikan kenderaan mereka sentiasa dalam keadaan optimum serta mempunyai baki kad Touch N’ Go yang mencukupi sebelum memulakan perjalanan bagi mengelakkan kesesakan di pusat tambah nilai.