PKMM Johor dakwa syarikat konsesi tindas kontraktor kecil

Mahmood (tengah) pada sidang media di Wisma PKMM Johor, Johor Bahru pada Selasa.
Mahmood (tengah) pada sidang media di Wisma PKMM Johor, Johor Bahru pada Selasa.
A
A
A

JOHOR BAHRU - [DIKEMASKINI] Pelaksanaan kerja-kerja penyelenggaraan jalan negeri dan Persekutuan yang diberikan kepada syarikat konsensi didakwa banyak menimbulkan masalah apabila 'memerah' dan menindas kontraktor-kontraktor kecil di Johor.

Yang Dipertua Persatuan Kontraktor Melayu Malaysia (PKMM) Johor, Ir Mahmood Amir berkata, banyak kontraktor kecil tidak dapat projek berkenaan antaranya kerana faktor harga yang ditawarkan murah.

"Sepatutnya harga yang ditawarkan perlulah setara dengan harga yang ditawarkan agensi kerajaan.

"Tempoh bayaran yang lambat melebihi enam bulan. Bayaran dari syarikat konsesi sepatutnya tidak secara 'back-to-back'. Harga yang ditawarkan tidak selaras dengan harga pasaran, sepatutnya sama dengan harga di pasaran.

"Begitu juga keputusan penyeliaan tidak selaras dengan keputusan pegawai atasan menyebabkan kerugian kepada kontraktor kecil. Ini termasuk konsesi membenarkan penggunaan jentera dari panel mereka sahaja," katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden PKMM berkata demikian dalam sidang akhbar di Wisma PKMM Johor di sini pada Selasa.

Tambah Mahmood, kontraktor juga terpaksa bersaing menawarkan harga terendah dan lebih malang turut melibatkan kontraktor dari luar Johor.

"Harga semasa yang diberikan adalah mengikut harga pasaran minyak, namun begitu apabila berlaku kejatuhan harga, kadar harga yang diperoleh daripada syarikat konsesi adalah rendah sedangkan syarikat konsesi mendapat kadar harga penuh daripada kerajaan," katanya.

Justeru katanya, matlamat kewujudan syarikat konsesi perlu dikaji semula sepertimana termaktub dalam perjanjian antara pihak kerajaan dengan syarikat konsesi agar situasi menang-menang dapat dicapai semua pihak.

Dakwanya, apa yang berlaku sekarang adalah syarikat konsesi menubuhkan anak syarikat dan kroni atau syarikat yang ada kaitan dengan pihak pengurusan syarikat konsesi yang dilantik sebagai kontraktor pelaksana.

"Matlamat syarikat konsesi untuk pembangunan serta membimbing kontraktor bumiputera digagalkan syarikat konsesi sendiri disebabkan ketamakan dan kerakusan mengaut keuntungan yang lebih, sedangkan kontraktor yang melaksanakan kerja diberi bayaran lambat antara enam sehingga 12 bulan.

"Selain itu, pihak pembekal mengenakan faedah dua sehingga tiga peratus dan jika menggunakan bayaran daripada agensi juga akan dikenakan faedah sekitar dua peratus," katanya.

Perkembangan itu katanya, menggagalkan dan merencatkan usahawan Melayu sedia ada atau usahawan baharu pada masa depan selain budaya kroni serta masalah birokrasi pihak konsesi memburukkan lagi keadaan.