Pesawah KADA kembali tanam padi ikut jadual

Muhamad (dua dari kiri) menerima Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi KADA daripada pengerusi sebelum ini iaitu Kamaruddin (dua dari kanan) di Ibu Pejabat KADA, Kota Bharu pada Selasa.
Muhamad (dua dari kiri) menerima Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi KADA daripada pengerusi sebelum ini iaitu Kamaruddin (dua dari kanan) di Ibu Pejabat KADA, Kota Bharu pada Selasa.
A
A
A

KOTA BHARU - Tanaman padi di kawasan Lembaga Kemajuan Pertanian Kemubu (KADA) untuk musim 1/2023 kembali mengikut jadual selepas rumah pam milik agensi itu di Kemubu, Kok Lanas sudah dapat membekalkan air ke petak-petak sawah.

Pengerusinya, Muhamad Husain berkata, hujan sejak bulan lalu banyak membantu sekali gus membolehkan rumah pam itu menyedut air untuk dialirkan ke petak sawah petani.

"Saya harap para petani terus mengikut segala nasihat serta jadual yang telah dikeluarkan oleh KADA," katanya semasa sidang akhbar pada Selasa.

Sebelum itu, Muhamad hadir pada Majlis Penyerahan Nota Serah Tugas Pengerusi KADA antara beliau dengan pengerusi sebelum ini iaitu Datuk Kamaruddin Md Nor di Ibu Pejabat KADA di sini.

Menurut beliau, situasi itu sekali gus memberikan kelegaan kepada KADA dan para petani untuk kembali melaksanakan tugas mereka dengan baik musim ini.

Ujarnya, pada masa sama KADA mahu melihat hasil yang diperoleh pada musim 1/2023 lebih baik berbanding musim-musim sebelum ini.

Beliau memberitahu, fokus utamanya ketika ini untuk menyelesaikan masalah bekalan air yang dihadapi oleh para petani di Bachok dan Pasir Puteh.

"Selain itu saya mahu menjadikan KADA sebagai salah satu pengeluar sumber makanan negara," katanya.