Kedah tidak pandang remeh isu bekalan air bersih

Kerajaan Kedah tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di negeri ini. - Gambar hiasan
Kerajaan Kedah tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di negeri ini. - Gambar hiasan
A
A
A

ALOR SETAR - Kerajaan Kedah tidak pernah memandang remeh masalah pembekalan air bersih yang telah sekian lama menjadi isu rakyat di kebanyakan daerah di negeri ini.

Menurut kenyataan Pejabat Menteri Besar Kedah, perkara ini diletakkan sebagai prioriti Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor untuk diselesaikan dalam tempoh kepimpinan beliau sejak mengambil alih tampuk pentadbiran pada Mei 2020.

Beliau menjelaskan, Syarikat Air Darul Aman (SADA) berjaya mencatatkan keuntungan sebanyak RM1 juta pada tahun 2020 atas daya usaha dan komitmen kepimpinan baharu kerajaan negeri termasuk langkah-langkah pengurangan kos yang dilaksanakan SADA secara intensif.

"Pada tahun 2021, rekod keuntungan berjaya ditingkatkan kepada lebih RM30 juta sebelum cukai dan ini memberi kelegaan kepada SADA untuk melipatgandakan kerja penambahbaikan dan penyelenggaran perkhidmatan di seluruh Kedah.

"Selain itu, usaha mengurangkan peratusan Air Tidak Terhasil (Non-Revenue Water - NRW) yang pada masa ini direkodkan sebanyak 49 peratus turut menjadi fokus utama dengan sasaran kadar itu dapat diturunkan sehingga 25 peratus dalam tempoh 15 tahun akan datang,"katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Tambah beliau, kos yang tinggi diperlukan iaitu lebih RM900 juta untuk menukar paip-paip lama di seluruh Kedah untuk mengurangkan NRW tersebut.

Beliau berkata, kerajaan negeri yakin masalah bekalan air terawat di seluruh Kedah akan dapat diatasi dalam tempoh dua hingga tiga tahun akan datang apabila kesemua Loji Rawatan Air (LRA) yang sedang dalam pembinaan siap nanti.

"Orang ramai diharapkan dapat bersabar sementara pelbagai usaha sedang giat dijalankan oleh kerajaan dan SADA dengan sedaya upaya yang mungkin untuk membawa keluar rakyat daripada belenggu masalah ini,"katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam perkembangan sama, katanya, mereka yang mengusahakan tanaman terutama dalam skala besar seperti dusun atau ladang dinasihatkan untuk tidak menggunakan air terawat bagi menyiram tanaman mereka dalam menghadapi musim kemarau yang sedang melanda.

"Pekebun atau pemilik ladang diminta memberi pertimbangan dan perhatian untuk menggunakan bekalan air daripada sumber yang lain bagi tujuan berkenaan.

"Ia kerana di sesetengah kawasan yang mengalami masalah tekanan air rendah, maka pengguna di hujung saluran paip bekalan SADA akan terjejas dengan lebih teruk apabila ada pekebun yang menadah air pada waktu malam untuk disimpan bagi tujuan menyiram tanaman mereka keesokannya," katanya.

Beliau berharap kerjasama mereka amat diperlukan untuk memberi peluang kepada pengguna di hujung saluran mendapat bekalan air secukupnya bagi keperluan asas.