Suntikan tiada kelulusan KKM

Laporan Sinar Harian pada Selasa.
Laporan Sinar Harian pada Selasa.
A
A
A

TELUK INTAN - Suntikan membesarkan otot punggung yang diambil seorang lelaki yang ditemukan mati dalam sebuah bilik hotel pada Isnin lepas tidak mempunyai kelulusan daripada Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).

Ketua Polis Daerah Hilir Perak, Asisten Komisioner Ahmad Adnan Basri berkata, wanita yang merupakan peniaga kosmetik yang terlibat memberikan suntikan berkenaan juga didapati tidak mempunyai tauliah untuk berbuat demikian.

Menurutnya, semakan awal mendapati wanita berkenaan telah menggunakan kandungan bahan Hyaluronic acid HA Filter (Dermalax) untuk suntikan itu.

"Perkara ini telah dimaklumkan kepada Ketua Cawangan Penguatkuasa Farmasi Perak dan akan diambil tindakan di bawah Seksyen 13 (a) dan (b) Akta Racun 1952.

"Buat masa ini, kita masih menunggu laporan kimia akan kandungan bahan yang digunakan sebelum tindakan lanjut diambil," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Beliau berkata, polis telahpun mengambil keterangan daripada beberapa individu termasuk wanita berusia 46 tahun terbabit.

"Laporan bedah siasat juga sudah diperoleh, punca kematian adalah disebabkan paru-paru berair dan buat masa ini siasatan (pihak polis sudah) selesai," katanya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan seorang lelaki yang baru selesai mendapatkan suntikan membesarkan otot punggung ditemui meninggal dunia.

Artikel Berkaitan:

Kejadian sekitar jam 3 petang itu disedari rakan mangsa selepas mendapati lelaki berperwatakan lembut berusia 31 tahun itu tidak lagi bernafas dalam keadaan terbaring di katil.

Mangsa dikatakan telah membuat janji temu bersama seorang wanita yang juga peniaga kosmetik dari Melaka bagi tujuan berkenaan dengan bayaran RM500 bagi satu suntikan.