Kecewa cara JPNK tangani isu pembalakan, kepupusan haiwan

Wong Yi Hao
Wong Yi Hao
A
A
A

SHAH ALAM - Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia menyuarakan kekecewaan mereka terhadap cara Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) menangani isu pembalakan dan melindungi spesies haiwan yang semakin pupus.

Ahli Jawatankuasa Pertubuhan Pembangunan Mampan Malaysia, Wong Yi Hao berkata, kenyataan Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah bahawa aktiviti pembalakan baik untuk pertambahan populasi harimau adalah sukar diterima.

“Menurut tinjauan populasi yang dilakukan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), World Wildlife Fund (WWF), Wildlife Conservation Society (WCS) dan Persatuan Penyelidik Rimba Malaysia (RIMBA) pada tahun 2014 menganggarkan jumlah harimau Malaya adalah antara 250 hingga 400 ekor.

“Data Perhilitan juga menunjukkan jumlah spesies harimau Malaya adalah kurang daripada 200 ekor setakat ini.

“Ini menunjukkan sejak tahun 2014 jumlah spesies ini mengalami perubahan populasi yang drastik,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Pada Selasa, JPNK mendakwa aktiviti pembalakan di negeri berkenaan tidak menjejaskan populasi harimau sebaliknya baik untuk pertambahan populasi berpandukan kepada kajian dibuat seorang pakar dari Sarawak.

Mengulas lanjut, Yi Hao berkata, sekiranya aktiviti pembalakan benar-benar bagus untuk populasi harimau, Perhilitan tidak perlu lagi melaksanakan pelbagai program seperti 'rewilding' iaitu program pembiakan khas sebagai langkah melindungi spesies tempatan.

Jelasnya, menurut statistik Jabatan Perhutanan, pada tahun 2011 Malaysia mempunyai kawasan berhutan seluas 5.81 juta hektar dan sehingga tahun 2020 kawasan berhutan itu telah menyusut sebanyak 120,000 hektar dan hanya tinggal 5.69 juta hektar.

Artikel Berkaitan:

“Pada 7 Januari lalu berlaku satu kes di mana seorang asli maut dibaham harimau di Gua Musang, Kelantan.

“Kejadian ini jarang berlaku dan kemungkinan besar harimau berkeliaran di kawasan kampung ini disebabkan habitat mereka mula terancam.

“Walau bagaimanapun, Timbalan Menteri Besar Kelantan telah menafikan berlaku pembalakan sehingga menjejaskan habitat harimau.

“Kerajaan negeri Kelantan harus lebih peka dalam menangani isu-isu alam sekitar dan juga isu perlindungan hidupan liar yang terancam,” ujar beliau.