Pemilik syarikat didenda RM30,000 guna logo halal tidak sah

Nadaraja ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
Nadaraja ketika hadir di Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.
A
A
A

SEREMBAN - Gara-gara mempamerkan logo halal tidak sah di dua buah restoran di Nilai, seorang pemilik syarikat didenda RM30,000 oleh Mahkamah Sesyen Seremban pada Rabu.

Hukuman itu dijatuhkan Hakim Mohd Sabri Ismail terhadap A Nadaraja, 59, selepas dia mengaku bersalah atau dua pertuduhan yang dibacakan.

Jika gagal menjelaskan denda, tertuduh berdepan enam bulan penjara bagi kedua-dua pertuduhan.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didapati telah memperakukan makanan yang dibekalkan di dua restorannya sebagai halal dengan cara bertentangan dengan Perenggan 4(1) Perintah Perihal Dagangan (Perakuan dan Penandaan Halal) 2011 yang merupakan satu kesalahan di bawah Perenggan 8(a)(A) perintah sama.

Kesalahan itu dilakukan pada 20 Oktober 2020, jam antara 4.50 petang hingga 5.20 petang di dua buah restoran di Bandar Baru Nilai.

Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh didenda tidak melebihi RM200,000 dan bagi kesalahan kedua atau berikutnya, didenda tidak melebihi RM500,000.

Pertuduhan dikendalikan oleh Timbalan Pendakwa Raya KPDNHEP, Kee Shu Min.

Mengikut fakta kes, sepasukan pegawai penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) bersama Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS) telah membuat pemeriksaan di dua restoran terbabit dan mendapati kesemua sijil halal yang dipamerkan dalam restoran itu bukan kepunyaannya.

Artikel Berkaitan:

Semasa pemeriksaan, pihak berkuasa telah menemui beberapa salinan sijil halal dari luar negara dan Sijil Pengesahan Halal Malaysia (SPHM) milik syarikat lain.

Hasik semakan dilakukan JHEAINS dan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) telah mengesahkan syarikat orang kena saman (OKS) dan restoran tersebut tidak memiliki SPHM dan bukan pemegang SPHM yang sah dalam Negeri Sembilan.