Sila log masuk terlebih dahulu.

Polis siasat kes wanita didakwa larikan wang lebih setengah juta

Amihizam - Foto Bernama
Amihizam - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kes seorang pekerja Perbadanan Pengurusan Kondominium OG Height yang menghilangkan diri sejak September 2020 selepas didakwa melarikan wang pengurusan membabitkan nilai melebihi setengah juta ringgit.

Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Amihizam Abdul Shukor berkata, siasatan awal mendapati wanita itu mengeluarkan resit penyelenggaraan penduduk yang berbeza dengan jumlah kemasukan wang kutipan ke dalam akaun syarikat sejak Julai 2016 sehingga September 2020.

"Siasatan masih diteruskan bagi mendapatkan jumlah kerugian yang sebenar dan dokumen lengkap daripada pihak perbadanan pengurusan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Amihizam berkata, pihaknya telah memanggil beberapa saksi berkaitan kes itu bagi membantu siasatan.

"Usaha mengesan suspek juga giat dijalankan. Orang ramai dinasihatkan tidak menimbulkan sebarang spekulasi berkaitan kes ini. Kes disiasat di bawah Seksyen 408 Kanun Keseksaan," katanya.

Dalam kenyataan Pengerusi Badan Pengurusan Kondominium OG Heights, Alvin Mah pada Selasa memaklumkan wanita berusia 64 tahun itu hilang selepas dia berjumpa doktor pada 25 September 2020.

Laporan polis mengenai kehilangan wanita terbabit sudah dibuat badan pengurusan lima hari kemudian di Ibu Pejabat Polis Daerah Brickfields selepas dia gagal dihubungi.

Artikel Berkaitan: