Kilang paku kotor digempur, 71 pekerja warga asing ditahan

KLANG - Keadaan sebuah kilang memproses paku di Meru di sini yang kotor, berlecak dan dipenuhi habuk sisa besi terbongkar selepas diserbu Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) pada Jumaat.
Serbuan kira-kira jam 6 petang itu dilaksanakan Ibu Pejabat Imigresen Putrajaya dengan kerjasama Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM).
Sinar Harian yang mengikuti operasi berkenaan mendapati kilang terbabit beroperasi dalam beberapa bahagian pemprosesan dengan laluan tengah dipenuhi air lecak dan sisa paku bertaburan.

Keadaan itu bukan sahaja mencemarkan persekitaran tempat kerja, malah berisiko menyebabkan kecederaan kepada pekerja di premis berkenaan.
Malah, pemakaian pekerja asing terbabit juga dikatakan tidak mematuhi spesifikasi keselamatan.

Pemeriksaan turut menemukan kawasan penempatan pekerja yang menempatkan beberapa bilik dengan katil dua tingkat, namun keadaan sekeliling tidak terurus, bersawang bahkan berbau dipercayai akibat pencemaran sisa daripada aktiviti kilang.
Ketika pemeriksaan dijalankan, seorang warga asing turut dikesan cuba melarikan diri dengan memanjat tembok premis berhampiran.

Timbalan Ketua Pengarah (Operasi) Imigresen, Datuk Lokman Effendi Ramli berkata, menerusi Op Sasar itu, pihaknya memeriksa 131 warga asing sebelum menahan 71 individu yang disyaki pendatang asing tanpa izin (PATI).
"Kesemua yang ditahan adalah lelaki terdiri daripada seorang warga Taiwan, 51 warga Bangladesh dan 19 warga Nepal.
"Antara kesalahan dikesan ialah tinggal lebih masa, menyalahgunakan pas serta tidak memiliki dokumen pengenalan diri yang sah," katanya kepada pemberita selepas operasi di sini pada Jumaat.
Turut hadir, Pengarah Bahagian Penguatkuasaan Imigresen, Datuk Basri Othman.

Lokman berkata, kesemua tangkapan akan dibawa ke depot tahanan imigresen untuk tindakan lanjut mengikut Akta Imigresen 1959/63 serta Peraturan-Peraturan Imigresen 1963.

Sementara itu, jurucakap JTKSM memaklumkan pihaknya turut menjalankan siasatan mengikut Seksyen 24D Akta Standard Minimum Perumahan, Penginapan dan Kemudahan Pekerja 1990 (Akta 446) serta Seksyen 63A Akta Kerja 1955.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
