Lelaki ditahan buat senapang angin

Chang Hook (empat dari kanan) menunjukkan senapang angin yang dirampas.
Chang Hook (empat dari kanan) menunjukkan senapang angin yang dirampas.
A
A
A

JEMPOL - [DIKEMAS KINI] Tindakan seorang lelaki menggunakan senapang angin buatan sendiri untuk memburu ayam hutan mengundang padah apabila ditahan polis dalam Op Tapis Khas yang dijalankan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jempol pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Jempol, Superintendan Hoo Chang Hook berkata, suspek berusia 30 tahun ditahan di rumahnya di Felda Serting Hilir Enam pada jam 11.40 malam.

"Suspek memberitahu dia belajar membuat senapang angin itu di media sosial dan mula menggunakannya sejak enam bulan lalu.

"Polis merampas 27 biji bebola besi dan suspek direman bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950," katanya ketika sidang akhbar di IPD Jempol pada Selasa.

Sementara itu katanya, dua lelaki berusia 43 tahun turut ditahan dalam serbuan di pondok wakaf tanah perkuburan Islam Felda Palong 9,10 dan 11 atas kesalahan sama, Jumaat lepas.

"Bagaimanapun suspek tidak mengaku senapang patah berkenaan adalah milik mereka dan mendakwa milik seorang lelaki dikenali sebagai 'Lebai Palong' yang telah pun melarikan diri.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 8 (A) Akta Senjata Api 1950; Seksyen 39A (1),Seksyen 12 (3) dan Seksyen 15 (1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

Berkenaan Op Tapis yang dilaksanakan, Chang Hook berkata, seramai 30 individu termasuk dua warganegara Indonesia berusia 19 hingga 54 tahun yang merupakan tokan dan penagih telah ditahan di enam lokasi di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kawasan berkenaan di Bahau, Rompin, Ladang Geddes, Ayer Hitam, Sungai Lui dan kawasan tanah rancangan Felda.

"Dadah jenis heroin seberat 39.54 gram; syabu 18.95 gram; erimin 5, 0.20 gram dan ganja seberat 1.20 gram dengan nilai keseluruhan RM3,365 berjaya dirampas polis.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 39B, Seksyen 39A (1),Seksyen 12(2),Seksyen 15 (1)(a) dan Seksyen 39C Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Langkah - Langkah Pencegahan Khas ( LLPK) 1985," katanya.