Bentang segera Akta Pembiayaan Dana Politik: TI-M

TI-M sekali lagi menyeru agar pembentangan Akta Pembiayaan Dana Politik di Dewan Rakyat dipercepatkan supaya ia diluluskan segera. - Foto Bernama
TI-M sekali lagi menyeru agar pembentangan Akta Pembiayaan Dana Politik di Dewan Rakyat dipercepatkan supaya ia diluluskan segera. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Ahli gabungan Rasuah Busters, Transparency International - Malaysia (TI-M) sekali lagi menyeru agar pembentangan Akta Pembiayaan Dana Politik di Dewan Rakyat dipercepatkan supaya ia diluluskan segera.

Menurut Presiden TI-M, Dr Muhammad Mohan, dalam situasi negara sekarang yang berdepan dengan krisis rasuah hingga Indeks Persepsi Rasuah (CPI) negara turun ke kedudukan 62, akta itu perlu dilaksanakan secepat mungkin.

"Akta ini telah lama dibincangkan iaitu pada 12 atau 13 tahun lalu semasa TI-M mengeluarkan buku berkenaan Akta Pembiayaan Dana Politik di Malaysia.

"Akta ini juga sudah sedia untuk dibentangkan pada 2019 tetapi bila berlaku pertukaran kerajaan, ia tertangguh," katanya ketika membentangkan keputusan Indeks Persepsi Rasuah (CPI) 2021 Malaysia secara maya pada Selasa.

Pada September tahun lalu, Muhammad telah meminta agar akta pendanaan politik itu perlu disegerakan bagi mengembalikan kepercayaan masyarakat terhadap proses demokrasi di Malaysia.

Justeru itu, beliau sekali lagi meminta kerjasama bipartisan dilakukan untuk memastikan akta itu dapat dikuatkuasakan segera.

"Kita harap pihak kerajaan dan pembangkang dapat duduk bersama untuk membantu supaya akta ini dapat diluluskan di Dewan Rakyat," ujarnya.

Muhammad menegaskan, selain itu terdapat lagi lima perkara yang perlu dilakukan untuk menangani krisis rasuah di negara ini.

Artikel Berkaitan:

"Kita juga menyeru agar pelaksanaan penuh Pelan Antirasuah Nasional (NACP) serta memberi kebebasan dan ketelusan institusi utama iaitu Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan Jabatan Peguam Negara.

"Ini untuk beri kebebasan kepada kedua-dua institusi itu untuk bertindak tanpa sebarang gangguan," katanya.

Tegas beliau, penggubalan Akta Anti-Lompat Parti atau pelaksanan 'Pilihan Raya Pecat' (Recall Election) juga perlu disegerakan.

"Cadangan ini saya rasa rakyat sangat setuju kerana keadaan sebelum ini dapat kita perhatikan apabila seseorang calon menang pilihan raya, selepas setahun dua, mereka lompat parti.

"Selain itu, perlu juga dilakukan pemerkasaan Undi 18. Setakat ini pelaksanaan Undi 18 ini sudah dimuktamadkan kerajaan kerana dalam Pilihan Raya Umum (PRU) akan datang, mereka yang berumur 18 tahun ke atas boleh mengundi.

"Kita juga tuntut diadakan reformasi Parlimen," jelasnya lagi.