Genap tiga tahun, Covid-19 terus menjangkiti

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Genap tiga tahun penularan Covid-19 di negara ini, wabak itu terus merekodkan angka jangkitan setiap hari.

Terbaharu, sebanyak 4,066 kes positif dilaporkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) pada Selasa sekaligus menyumbang kepada jumlah keseluruhan 2,840,225 kes.

Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah berkata, 50 daripada jumlah kes harian yang dilaporkan adalah kategori tiga hingga lima.

"Selebihnya, 4,016 kes atau 98.8 peratus lagi merupakan kategori satu dan dua," katanya dalam kenyataan.

Menurutnya, seramai 131 pesakit dirawat di unit rawatan rapi (ICU) dan 64 kes memerlukan bantuan mesin pernafasan.

"Sebanyak 3,559 kes dilaporkan sembuh dengan jumlah kumulatif 2,762,608 atau bersamaan 97.3 peratus," katanya.

Beliau berkata, KKM mengenalpasti 13 kluster baharu Covid-19 dengan jumlah keseluruhannya, 6,328.

"Daripada jumlah itu, 6,084 telah diisytiharkan tamat manakala 244 lagi masih aktif," katanya.

Artikel Berkaitan:

Kali pertama Malaysia merekodkan kes positif Covid-19 adalah pada 25 Januari 2020 selepas tiga tiga pelancong China yang memasuki negara melalui Johor disahkan dijangkiti Coronavirus 2019-nCoV.

Pada perkembangan sama, kadar kebolehjangkitan (Rt) negara meningkat kepada 1.09.

Negeri Sembilan mencatatkan nilai Rt tertinggi iaitu 1.16 disusuli Kedah (1.09), Johor (1.09), Kuala Lumpur (1.07), Melaka (1.04), Putrajaya (1.04), Selangor (1.04), Pulau Pinang (1.03), Pahang (1.01), Kelantan (1.0) dan Perak (1.0), Sabah (0.98) serta Terengganu (0.82).

Nilai Rt di Perlis, Labuan dan Sarawak pula adalah sifar.