Ibu tunggal ditahan positif dadah

Sebahagian penagih dadah yang ditahan di bekas tapak pelupusan sampah Krubong di sini, pada Ahad.
Sebahagian penagih dadah yang ditahan di bekas tapak pelupusan sampah Krubong di sini, pada Ahad.
A
A
A

MELAKA - Ibu tunggal antara 73 individu ditahan di sarang penagih dadah bekas tapak pelupusan sampah Krubong di sini, pada Ahad.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Superintendan Zulkiflee Rashid berkata, dalam ops cegah dadah selama tiga hari itu, wanita berusia 41 tahun ditahan dalam keadaan khayal disyaki selepas mengambil dadah di 'port' terbabit.

"Ibu tunggal seorang anak itu kemudian di bawa ke Ibu pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka untuk tindakan lanjut.

"Hasil ujian air kencing mendapati dia positif dadah," katanya ketika dihubungi di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut beliau berkata, selain lokasi itu pihaknya turut membuat serbuan di Apache Alor Gajah dan mereka yang ditahan berusia 23 hingga 64 tahun.

Menurutnya, pelbagai jenis dadah dianggarkan bernilai RM41,000 dirampas termasuk hampir satu kilogram heroin, syabu seberat 0.073 kilogram dan ganja 0.013 kilogram.

"Daripada jumlah ditahan, sembilan individu merupakan pengedar dadah dan dalam operasi bermula 21 Januari lalu, kita juga menyita harta membabitkan nilai RM161,500," katanya.

Kesemua kes disiasat di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan tiga pengedar dadah dikenakan tindakan di bawah Seksyen 3(1) Akta Dadah Berbahaya (Langkah-langkah Pencegahan Khas) 1985.

Artikel Berkaitan: