Tiga pusat hiburan digempur, 66 ditahan positif dadah

66 individu ditahan di dalam Operasi Khas Pusat Hiburan kerana positif dadah.
66 individu ditahan di dalam Operasi Khas Pusat Hiburan kerana positif dadah.
A
A
A

GEORGETOWN - Seramai 66 individu yang positif pelbagai jenis dadah ditahan dalam Operasi Khas Pusat Hiburan di dua daerah iaitu Timur Laut dan Seberang Perai Tengah (SPT).

Ketua Polis Pulau Pinang, Datuk Khaw Kok Chin berkata, operasi tersebut dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik, Jabatan Siasatan Jenayah dan Jabatan Pencegahan Jenayah Keselamatan Komuniti Pulau Pinang bermula pada Rabu lalu.

Menurutnya, ia melibatkan tiga pusat hiburan iaitu dua di Timur Laut dan satu di SPT.

"(Seramai) 124 orang diperiksa dan 66 ditahan kerana positif dadah. Mereka terdiri daripada 39 lelaki tempatan, seorang lelaki warga asing, 16 wanita warga asing dan 10 wanita tempatan.

"Kesemua mereka berusia lingkungan 25 hingga 45 tahun dan positif pelbagai jenis dadah antaranya methamphetamine dan amphetamine. Turut dirampas 10 peket serbuk MDMA seberat 275 gram bernilai RM3,200," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Kes disiasat mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut turut menahan 24 individu dalam Op Noda/Op Pusat Hiburan pada awal pagi Khamis.
Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut turut menahan 24 individu dalam Op Noda/Op Pusat Hiburan pada awal pagi Khamis.

Dalam operasi berasingan, 24 individu ditahan selepas positif pelbagai jenis dadah dalam Op Noda/Op Pusat Hiburan yang dijalankan anggota Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut pada jam 1.30 pagi Khamis.

Ketua Polis Daerah Timur Laut, Asisten Komisioner Soffian Santong berkata, pihaknya membuat serbuan di sebuah pusat hiburan di Pulau Tikus di sini lalu menjalankan pemeriksaan ke atas 49 individu berusia lingkungan 20 hingga 51 tahun.

"Daripada jumlah itu, 24 telah ditahan kerana ujian saringan air kencing mereka positif dadah. Kesemua yang ditahan itu berusia lingkungan 25 hingga 50 tahun.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 15 (1)(a)1952 Akta Dadah Berbahaya," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Soffian berkata, selain itu, pihaknya turut menahan dua lelaki tempatan kerana menggajikan warga asing tanpa permit yang sah.

"Selain dua lelaki tersebut, kita juga menahan lima wanita warga asing kerana melanggar syarat pas lawatan sosial dan bekerja sebagai pelayan. Turut ditahan, dua pekerja lelaki dan tiga pengunjung wanita warga asing kerana tiada dokumen perjalanan yang sah.

"Kes disiasat mengikut Seksyen 55b Akta Imigresen 1959/63, 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen 1959/63 dan 6(3) Akta Imigresen 1959/63," katanya.