PRN Melaka, Johor berbeza, perlu formula lebih sesuai

Noor Azleen
Noor Azleen
A
A
A

JOHOR BAHRU - Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor yang akan diadakan selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 22 Januari lalu perlu dinilai daripada sudut yang berbeza berbanding PRN Melaka.

Exco Pemuda UMNO Pusat, Noor Azleen Ambros berkata, dua PRN yang diadakan itu dilihat tercetus akibat situasi berbeza dan semestinya strategi yang bakal digunakan oleh parti juga tidak boleh menggunakan acuan yang sama.

"Pertama, kita kena faham PRN Melaka dan Johor adalah perkara berbeza dan jika kita ingin gunakan strategi sama untuk menawan kembali negeri Johor, ia tidak sesuai. Di Melaka perkara terjadi adalah kerajaan runtuh kerana sokongan yang ditarik Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) kerajaan sendiri.

"Tetapi di Johor pula, ia berlaku apabila kita hanya mempunyai satu kerusi selepas ADUN Kempas (Datuk Osman Sapian) meninggal dunia. Dengan keadaan yang berlaku ini, kerajaan mempunyai kesukaran dan walaupun pembangkang menyatakan sokongan, namun ia masih mempunyai masalah berbangkit," katanya ketika ditemui Sinar Harian di sini, pada Isnin.

Azleen berkata, walaupun PRN di Melaka dilihat menggambarkan kejayaan besar Barisan Nasional (BN) menawan kembali negeri itu, strategi sama tidak semestinya sesuai digunakan jika melihat kepada beberapa perkara lain yang akan berlaku di PRN Johor.

"Apa yang saya ingin nyatakan, di Johor nanti kita akan berdepan dengan Undi18 dan daftar pengundi automatik (DPA) yang semestinya menjadi cabaran baharu yang mesti diambil kira.

"PRN Johor juga dilihat pentas besar kerana pelbagai parti termasuk Parti Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) yang baharu sahaja diluluskan telah menyatakan minat untuk menyertainya. Kita tidak boleh memandang rendah dengan parti-parti ini kerana penerimaannya oleh rakyat masih belum diukur," ujarnya.

Beliau yang juga Ketua Pemuda UMNO Bahagian Pasir Gudang berkata, calon baharu sahaja bukan perkara yang boleh ditonjolkan pada PRN kali ini kerana apa yang diperlukan sebenarnya adalah mereka yang berupaya memberikan keyakinan kepada rakyat.

Artikel Berkaitan:

"Kita dengar permintaan calon baharu dan calon muda, benar ini adalah strategi segar dan saya yakin pimpinan tertinggi bijak untuk mempertimbangkannya. Cuma apa yang saya rasa sesuai adalah calon yang memang bekerja, calon diterima masyarakat dan berupaya menyelesaikan permasalahan lokaliti setempat.

"Selain itu, saya juga berharap UMNO dapat mengambil pengajaran dengan apa yang berlaku di Melaka iaitu kerusi diyakini menang (DUN Sungai Udang) gagal dipertahankan.

"Apa yang saya lihat di sini, kita tidak boleh lagi anggap undi awal dan undi penjawat awam ini sebagai deposit tetap, trend pengundian melibatkan golongan ini telah berubah dan kita perlu berhati-hati dalam membuat sebarang keputusan," katanya.