Senoi Praaq jumpa kesan tapak kaki harimau di Kampung Belatim

Pasukan Senoi Praaq menemukan kesan baharu beberapa tapak kaki harimau di Kampung Belatim, Gua Musang pada Khamis lepas. - Gambar hiasan/Foto 123RF
Pasukan Senoi Praaq menemukan kesan baharu beberapa tapak kaki harimau di Kampung Belatim, Gua Musang pada Khamis lepas. - Gambar hiasan/Foto 123RF
A
A
A

KOTA BHARU - Pasukan Senoi Praaq atau Batalion 3 Pasukan Gerakan Am (PGA3) Bidor, Perak menemukan kesan baharu beberapa tapak kaki harimau di Kampung Belatim, Gua Musang, Khamis lepas.

Pegawai Pemerintah PGA3, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya belum berjaya mengesan jejak harimau tersebut setakat ini dan percaya haiwan tersebut masih berkeliaran di kawasan sekitar.

"Seramai 21 anggota Batalion 3 PGA telah diatur gerak ke Pos Bihai pada 19 Januari lepas.

"Anggota ditugaskan melakukan pemeriksaan harian di semua lokasi perangkap yang dipasang selain rondaan di Kampung Asli Pahong, Tendrik, Kesuma, Bujuk, Remai, Sau, Hak, Badak, Piyai, Kemban, Chemal, Cacoh A dan B, Belatim, Dakoh dan sekitar Sekolah Kebangsaan Balar," katanya kepada pemberita di sini pada Isnin.

Azhar berkata, ini merupakan kali pertama pasukan Senoi Praaq membantu menjaga keselamatan petugas Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dalam operasi menangkap harimau di Gua Musang.

Senoi Praaq yang bermaksud 'Orang Perang', merupakan sebuah batalion dalam pasukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang sebahagian besarnya merupakan Orang Asli yang mempunyai ketangkasan, keberanian dan kemahiran ilmu hutan yang tinggi selain tidak gentar berdepan musuh. - Bernama

Artikel Berkaitan: