Wujud sindiket teroka hutan simpan kekal, jual tanpa dokumen sah

Abdul Khalim (tengah) menunjukkan papan tanda yang telah dipasang oleh JPNK berkait dengan penerokaan haram di Hutan Simpan Relai, Ladang Serasa, Gua Musang pada Isnin.
Abdul Khalim (tengah) menunjukkan papan tanda yang telah dipasang oleh JPNK berkait dengan penerokaan haram di Hutan Simpan Relai, Ladang Serasa, Gua Musang pada Isnin.
A
A
A

GUA MUSANG - Jabatan Perhutanan Negeri Kelantan (JPNK) mendedahkan wujud sindiket penerokaan haram yang menceroboh kawasan hutan simpan kekal di negeri ini sebelum dijual kepada orang luar walaupun tanpa dokumen sah.

Pengarah JPNK, Abdul Khalim Abu Samah berkata, walaupun aktiviti tersebut dibuat tanpa sebarang dokumen namun ia tetap mendapat permintaan tinggi.

"Hasil maklumat risikan yang diperoleh, sindiket berkenaan akan meneroka kawasan hutan simpan kekal dan menyiapkan plot sebelum dijual.

"Bila (sindiket) teroka mereka akan tanam dengan kelapa sawit, kemudian buat plot-plot antara satu hektar; dua hektar atau enam hektar yang kemudian akan dijual," katanya kepada pemberita ketika turun padang dalam Operasi Bersepadu Membanteras Penerokaan Haram di Hutan Simpan Relai, Ladang Serasa di sini pada Isnin.

Operasi tersebut turut melibatkan kerjasama 81 anggota daripada Jabatan Perhutanan Kelantan; Pejabat Tanah dan Galian, Polis serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM).

Abdul Khalim menumbangkan pokok sawit menggunakan jentolak semasa Operasi Bersepadu Membanteras Penerokaan Haram di Hutan Simpan Relai, Ladang Serasa, Gua Musang pada Isnin.
Abdul Khalim menumbangkan pokok sawit menggunakan jentolak semasa Operasi Bersepadu Membanteras Penerokaan Haram di Hutan Simpan Relai, Ladang Serasa, Gua Musang pada Isnin.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, kebanyakan orang luar yang tidak tahu bahawa kawasan tersebut mempunyai milikan akan terus membeli kerana ia tidak memerlukan geran dan hanya perlu membayar deposit sahaja.

Beliau berkata, situasi itu membuatkan mereka menjadi mangsa kepada sindiket terbabit apabila JPNK menjalankan operasi pemusnahan kerana melakukan penerokaan secara haram.

Mengulas lanjut, Abdul Khalim bagaimanapun berkata, nilai jualan itu tidak diketahui oleh JPNK dan ia bergantung kepada jumlah tanaman serta jarak kawasan tersebut.

"JPNK tidak menolak kemungkinan orang tempatan menjadi 'dalang' di sebalik kegiatan ini dan pihak kami akan sentiasa melakukan operasi berterusan bagi membanteras penerokaan haram di kawasan hutan simpan selain menjalinkan kerjasama dengan pelbagai agensi dalam mengesan aktiviti ini.

"Kita akan gunakan teknologi moden seperti Forest Monitoring Using Remote Sensing (FMRS), dron dan skuad yang terdiri daripada anggota penguatkuasa daerah serta ibu pejabat untuk memantau aktiviti penerokaan hutan," katanya.

Menurutnya, kawasan yang dikesan menjadi perhatian sindiket ialah di Gua Musang dan beberapa hutan simpan kekal di negeri ini.

Beliau berkata, sehingga kini Kelantan mempunyai sempadan hutan simpan kekal lebih 8,000 kilometer.