PRN Johor: BN punya strategi 'tawan' Undi 18

Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis Penutup Program Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Dewan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat hari ini. - Foto Bernama.
Menteri Besar Johor Datuk Hasni Mohammad menyampaikan ucapan dan merasmikan majlis Penutup Program Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Dewan Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat hari ini. - Foto Bernama.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Barisan Nasional (BN) Johor tidak memandang ringan Undi 18 malah mempunyai strategi untuk menarik mereka memilih BN pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor.

Pengerusi BN Johor, Datuk Hasni Mohammad memberitahu, terdapat lebih 150,000 pengundi berusia 18 hingga 20 tahun di negeri ini pada PRN dan Johor adalah pilihan raya pertama yang melibatkan mereka.

"Kita akan susun langkah untuk mendapatkan sokongan daripada pengundi muda. BN sudah menggerakkan jentera untuk mendekati golongan berkenaan dan yakin berupaya mendapat sokongan mereka.

"Seperti parti lain, kita perlu susun gerak kerja dan menggerakkan jentera diketuai orang muda untuk mendapatkan sokongan pengundi muda.

"Kita juga menjalin kerjasama dengan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk mendekati golongan berkenaan," katanya yang Pengerusi UMNO Johor.

Menteri Besar Johor itu berkata demikian dalam sidang akhbar selepas Taklimat Pilihan Raya MIC Negeri Johor di Kompleks Tan Sri Mohamed Rahmat, di sini pada Ahad.

Turut hadir Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran dan Pengerusi MIC Johor, R Vidyananthan.

Ditanya mengenai persediaan manifesto untuk PRN Johor, Hasni berkata, manifesto bukan faktor utama yang menentukan kemenangan dalam pilihan raya sebaliknya manfaat yang dapat diberi kepada rakyat adalah lebih utama.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) rakyat dijanjikan pelbagai perkara dalam manifesto pembangkang tetapi akhirnya tidak ditunaikan dan itu diakui sesetengah pemimpin Pakatan Harapan (PH).

"BN sebaliknya, manifesto atau janji dibuat adalah satu 'responsible outline' yang dibentuk supaya rakyat faham hala tuju kerajaan dan bagaimana kerajaan negeri akan bela masa depan rakyat.

"Jadi, saya tidak rasa manifesto adalah kunci utama untuk menang pilihan raya lagi kerana apa yang penting adalah hala tuju kerajaan negeri yang hendak dibawakan sesebuah parti tersebut," katanya.