X

Kindly register in order to view this article
!

Ahad | 22 Mei 2022

Video tular dakwa ulama bakal berhimpun, kemunculan Imam Mahdi

Tangkap layar video Facebook Live yang dibuat individu berkenaan ketika mengunjungi sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.
A
A

KUALA KANGSAR - Satu siasatan lanjut sedang dijalankan polis terhadap perkongsian seorang lelaki menerusi Facebook Live di sebuah kedai di Sayong Lembah di sini yang mendakwa bakal berlaku perhimpunan ulama dan kemunculan Imam Mahdi.

Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid berkata, siasatan awal mendapati, siaran langsung berdurasi 8 minit 56 saat itu dilakukan ketika individu berkenaan mengunjungi sebuah kedai yang menjual pelbagai senjata antaranya pedang dan keris.

"Saya telah mengarahkan ketua jabatan siasatan jenayah negeri dan Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar untuk jalankan siasatan. Benda ini (video) memang dibuat di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

"Polis akan dapatkan maklumat lanjut berhubung perkara ini," katanya ketika ditemui dalam Program High Profile Policing (HPP) Solat Jumaat Polis Perak bersama penduduk Lubuk Merbau di Masjid Jamek Al-Marbawi di sini pada Jumaat.

Ditanya kemungkinan perkongsian video itu ada kaitan dengan ajaran Perjalanan Mimpi Yang Terakhir (PMYT) Sittah Annur, Mior Faridalathrash berkata, perkara itu masih dalam siasatan.

"Biar kita siasat dulu, nanti kita akan kongsikan (butiran siasatan).

"Siasatan perkara berkaitan tular menggunakan rangkaian tidak wajar ini biasanya akan dilakukan di bawah Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998," katanya.

Sejak Khamis tular di media sosial video seorang lelaki menunjukkan koleksi pedang dan keris yang dijual di sebuah kedai di Sayong Lembah, Kuala Kangsar.

Dalam rakaman itu, individu terbabit memberitahu bakal berlaku sebuah perhimpunan dihadiri hampir 300 ulama untuk menyaksikan kebangkitan khalifah ALLAH iaitu Imam Mahdi.

Dia turut meminta agar orang ramai mempersiapkan diri dengan busur panah dan pedang bagi menyahut seruan jihad daripada Imam Mahdi.

"Sesiapa yang belum ada busur dan pedang, silalah dapatkan sekarang.

"Kalau tak ada busur panah, ikhtiarlah untuk miliki pedang, RM265 sahaja siap pos," kongsinya merujuk kepada pedang yang dijual di premis itu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!