X

Kindly register in order to view this article
!

Isnin | 23 Mei 2022

Kawasan pencarian tiga lagi pendatang mangsa bot karam diperluas

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria (kanan) menunjukkan lokasi kejadian bot karam di Teluk Ramunia. -Foto Bernama
A
A

JOHOR BAHRU - Kawasan pencarian tiga lagi pendatang warga Indonesia yang hilang dalam kejadian bot karam di perairan Teluk Ramunia, Pengerang dekat Kota Tinggi, yang memasuki hari kedua, diperluas kepada 35.82 batu nautika.

Pengarah Maritim Negeri Johor Laksamana Pertama Maritim Nurul Hizam Zakaria berkata Op Carilamat di laut bermula pada 7 pagi tadi meliputi sekitar perairan Tanjung Sepang hingga Pengerang dengan kekuatan tujuh aset Maritim Malaysia dan agensi lain.

"Pencarian di pesisir pantai juga dilakukan oleh pasukan penyelamat sejauh 20 kilometer yang turut melibatkan bantuan dron milik Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia,” menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata bagaimanapun, tiada penemuan mangsa baharu direkodkan setakat ini.

Nurul Hizam berkata pencarian di laut akan ditangguh pada kira-kira 7 malam dan disambung semula pada 7 pagi esok manakala Op Carilamat di kawasan pesisir pantai diteruskan malam ini.

Semalam, dalam insiden pada 4.50 pagi, sebuah bot kayu membawa 27 pendatang dipercayai dari Tanjung Tondang, Pulau Bintan, Indonesia, karam kira-kira satu batu nautika dari Teluk Ramunia, Pengerang.

Seramai lima wanita warga Indonesia maut dalam insiden itu manakala 19 terdiri daripada 10 wanita dan sembilan lelaki selamat dan tiga lagi masih hilang. - Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!