Seorang maut nahas libat tiga lori

Anggota bomba mengeluarkan pemandu lori yang tersepit di tempat kejadian di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak pada Selasa. Foto BBP Bukit Gambir
Anggota bomba mengeluarkan pemandu lori yang tersepit di tempat kejadian di Lebuhraya Utara Selatan, Tangkak pada Selasa. Foto BBP Bukit Gambir
A
A
A

TANGKAK - Seorang lelaki meninggal dunia selepas lori dipandunya melanggar belakang sebuah lori yang berhenti di Kilometer 171.5 Lebuhraya Utara Selatan arah utara dekat sini pada Selasa.

Kemalangan pada jam 10.10 pagi itu mengakibatkan pemandunya, Nazri Jani, 53, yang beralamat di Taman Sri Lembayung, Shah Alam, Selangor maut.

Ketua Polis Daerah Tangkak, Superintenden Roslan Mohd Talib berkata, kemalangan tersebut melibatkan tiga buah lori kesemuanya jenis Isuzu warna putih.

"Siasatan awal mendapati lori Isuzu pertama milik Gardenia Bakeries Sdn Bhd dipandu mangsa dari Johor menghala ke Kuala Lumpur apabila sampai di lokasi telah melanggar belakang sebuah lori Isuzu kedua yang berhenti di lorong perlahan disebabkan sebuah lori Isuzu ketiga sedang membuat penutupan jalan di lorong sebelah kiri.

"Akibat daripada kemalangan tersebut lori Isuzu kedua telah terlajak kehadapan dan melanggar belakang lori Isuzu ketiga," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Beliau berkata, mangsa tersepit sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh anggota paramedik Klinik Kesihatan (KKM) Tangkak yang datang memberikan rawatan.

Katanya, pemandu lori Isuzu kedua iaitu lelaki berusia 57 tahun yang beralamat di Taman Universiti, Johor Bahru cedera dan dibawa ke Hospital Tangkak manakala pemandu lori Isuzu ketiga berusia 36 tahun tidak cedera.

"Punca kemalangan disebabkan lori mangsa yang gagal mengawal kenderaan dengan baik dan menyebabkan kemalangan.

Artikel Berkaitan:

"Kes disiasat bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!