Jadi atau tak PRN Johor?

Desas-desus tentang satu lagi pilihan raya iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor sejak dua minggu ini kuat kedengaran. - Gambar hiasan
Desas-desus tentang satu lagi pilihan raya iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor sejak dua minggu ini kuat kedengaran. - Gambar hiasan
A
A
A

DESAS-desus tentang satu lagi pilihan raya iaitu Pilihan Raya Negeri (PRN) di Johor sejak dua minggu ini kuat kedengaran.

Perkara ini diperkuatkan lagi apabila Menteri Besar Johor, Datuk Hasni Mohammad, tidak menolak keperluan bagi mengadakan PRN di negeri berkenaan.

Beliau bagaimanapun mengakui, tidak boleh sewenang-wenangnya membubarkan Dewan Undangan Negeri (DUN).

Pengerusi UMNO Johor itu berkata, apabila kerajaan negeri memiliki majoriti amat tipis, pihaknya perlu lebih sensitif terhadap kestabilan kerajaan.

“Mengenai keperluan mengadakan PRN ini, saya tidak boleh tolak begitu saja.

Kita perlu kaji dan perlu tengok perkara itu.

Suara daripada pelbagai pihak (mengenai PRN) tidak boleh diabaikan sepenuhnya.

“Bagaimanapun, kita (kerajaan negeri) tidak boleh sewenang-wenangnya menasihati Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar untuk bubar DUN.

Artikel Berkaitan:

Ia ada peraturannya, ada syaratnya.

Jadi ini harus dipatuhi dan tidak boleh sesuka hati mengisytiharkan atau menasihatkan bubar atau tidak dan sebagainya.

“Saya akan berpegang kepada peraturan yang sudah ditetapkan undang-undang kerajaan negeri (Undang-undang Tubuh Kerajaan Negeri) dan keperluan yang sudah ditetapkan,” katanya baru-baru ini.

Beliau berkata, majoriti tipis yang dimiliki Kerajaan Johor memerlukan pihaknya lebih berhati-hati.

Jika melihat keadaan, secara umumnya tiada keperluan untuk diadakan PRN di Johor dan tumpuan yang penting kini adalah menyelesaikan masalah Covid-19 serta pasca banjir.

Bagaimanapun, perspektif yang dinyatakan oleh Menteri Besar Johor itu juga perlulah diambil kira.

Ini kerana kerajaan Johor pimpinan Hasni hanya memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, berikutan kematian Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kempas, Datuk Osman Sapian pada 21 Disember lalu.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkininya adalah UMNO dan DAP masing-masing 14 kerusi, Bersatu (11), MIC (2), Pas (1), manakala Amanah (6) dan PKR (7).

Melihat sebab atau justifikasi yang diberikan, PRN dilihat perlu diadakan agar pentadbiran Johor tidak terumbang-ambing dan senang untuk membuat keputusan.

Maksud tersurat

Bagaimanapun, mungkin juga terdapat sebab lain bahawa UMNO Johor mahukan PRN di negeri tersebut dan ia dapat dilihat menerusi kenyataan Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Kenyataan dibuat olehnya itu mempunyai pelbagai maksud.

Mohamed Khaled berkata, keputusan untuk mengadakan PRN Johor merupakan satu tindakan yang bertanggungjawab untuk mengembalikan mandat kepada rakyat.

Katanya, langkah itu dilihat sudah tidak dapat dielakkan memandangkan kerajaan negeri Johor pada ketika ini hanya mempunyai kelebihan majoriti satu kerusi DUN.

Beliau berkata, tindakan ugutan yang disuarakan Timbalan Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub untuk menarik sokongan kepada kerajaan menguatkan lagi alasan PRN perlu dilakukan.

“Kerana ugutan sedemikianlah, PRN dan PRU wajar dilaksanakan segera.

Tiada kerajaan boleh diugut sedemikian pada setiap masa dan dalam setiap keadaan.

“Mengadakan PRN Johor bukan satu tindakan tidak bertanggungjawab.

Malah inilah sebenarnya tanggungjawab.

Kita mesti mengembalikan mandat kepada rakyat apabila kerajaan berada dalam kedudukan yang terlalu rapuh,” katanya.

Jadi timbul tanda tanya mengapa UMNO mahukan PRN di negeri terbabit.

Apa yang diperhatikan, besar kemungkinan adalah kerana UMNO dan Barisan Nasional (BN) mahu mengekalkan momentum menang dua PRN sebelum ini iaitu di Sabah dan terbaru di Melaka.

Mana tidaknya, semasa PRN Melaka tempoh hari BN menang dengan majoriti selesa apabila memenangi 21 daripada 28 kerusi yang dipertandingkan.

Pakatan Harapan (PH) pula memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) hanya memenangi dua kerusi.

Di samping itu, Melaka juga ‘berjiran’ dengan Johor yang tempias kemenangan BN juga sedikit sebanyak boleh mempengaruhi kemenangan.

Faktor lain juga adalah mungkin disebabkan UMNO juga mahu mengurangkan pengaruh Bersatu di negeri berkenaan.

Ini kerana, semasa Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lalu, Bersatu mampu mencabar UMNO di Johor yang disifatkan antara kubu kuat parti berkenaan.

Dengan faktor-faktor ini, jadi atau tidak PRN di negeri Johor?

* Mohammad Khairil Ashraf Mohd Khalid ialah wartawan Sinar Harian