Dua lelaki ditahan bersama 60kg daun ketum

Daun ketum yang disumbat di dalam bonet kereta suspek.
A
A

BUTTERWORTH - Polis menahan dua lelaki dan merampas daun ketum seberat 60 kilogram dalam sekatan jalan raya yang dilakukan di Tol Sungai Dua di sini malam tadi.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, dalam kejadian jam 11.30 malam itu, kedua-dua suspek ditahan selepas dilihat berada dalam keadaan mencurigakan sebelum pemeriksaan menemui daun ketum itu di dalam bonet kereta jenis Proton Saga FLX yang dinaiki mereka.

Menurutnya, hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam perjalanan dari Pendang menuju ke Pulau Pinang untuk menghantar bekalan daun ketum berkenaan.

"Hasil pemeriksaan di dalam bonet kereta tersebut menjumpai 12 bungkusan plastik hitam yang berisi daun-daun hijau disyaki daun ketum.

"Ujian saringan air kencing yang dilakukan ke atas mereka juga mendapati kedua-duanya positif dadah jenis methamphetamin dan tetrahydrocannabinol," katanya ketika dihubungi di sini.

Daun ketum yang dirampas daripada suspek.
Daun ketum yang dirampas daripada suspek.

Noorzainy berkata, kesemua daun ketum yang dirampas dianggarkan bernilai RM1,800 dan kedua-dua suspek kini direman selama empat hari untuk tindakan lanjut.

Kes tersebut akan disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952 dan Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

Beliau berkata, polis akan sentiasa mengambil tindakan serta menjalankan operasi narkotik yang berterusan secara agresif ke atas pengedar bekalan daun ketum yang berada di daerah ini.

Beliau turut mengharapkan kerjasama masyarakat untuk membantu polis dengan menyalurkan sebarang maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dan penyalahgunaan daun ketum di daerah ini.