Alasan gugur Khairuddin tidak perlu didedah terperinci

Laporan Sinar Harian mengenai Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan Mohd Khairuddin.
Laporan Sinar Harian mengenai Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz mempertahankan Mohd Khairuddin.
A
A
A

ALOR SETAR - Alasan pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas selepas kurang dua bulan dilantik memegang jawatan itu tidak perlu didedahkan secara terperinci kepada umum.

AJK Pas Pusat, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor menegaskan, penjelasan Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang tindakan berkenaan diambil kerana isu disiplin sudah memadai dan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu sudah pasti tahu sebab dikenakan tindakan berkenaan.

Beliau berkata, pengguguran dalam Pas merupakan perkara biasa malah Presiden sebelum ini sudah memaklumkan alasan berkenaan.

"Tidak perlu kita ceritakan secara terperinci kerana dikhuatiri akan menimbulkan masalah lain.

“Saya rasa beliau juga tahu sebab musababnya malah rakan yang menulis di Facebook berhubung perkara itu pun tahu,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Exco Kedah di Wisma Darul Aman di sini pada Rabu.

Pada Selasa, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz yang juga AJK Pas Pusat dalam hantaran di Facebooknya tampil mempertahankan sahabatnya, Mohd Khairuddin.

Nik Mohamad Abduh berkata, Pas perlu memberi penjelasan rasmi mengenai pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membina persepsi yang baik kepada parti.

Menurut Muhammad Sanusi, tindakan individu tertentu dalam Pas yang ‘pandai-pandai’ menulis di laman sosial juga boleh dianggap sebagai isu disiplin.

Artikel Berkaitan:

Beliau menjelaskan, 'orang lama’ yang berada dalam kepimpinan parti itu sama sekali tidak akan menggunakan Facebook untuk meluahkan perasaan mereka.

"Saya berpegang kepada satu frasa iaitu pandai dialu-alukan, ‘pandai-pandai’ tidak dialu-alukan. Tindakan menulis di laman sosial sebagai ‘pandai-pandai’,sekali gus ia tidak dialu-alukan.

Dalam perkembangan sama, Muhammad Sanusi mengakui berada dalam Mesyuarat Jawatankuasa Harian dan Mesyuarat Jawatankuasa Pas Pusat bagi membincangkan mengenai pengguguran Mohd Khairuddin.

Jelasnya, keputusan dua mesyuarat berkenaan dibuat secara konsensus, sebulat suara dan persetujuan secara kolektif semua.

Pada Jumaat, Sinar Harian melaporkan Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali digugurkan daripada jawatan Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas.

Perkara itu disahkan Abdul Hadi sekali gus menjawab desas-desus yang bertiup sejak malam Khamis.

Menurut Abdul Hadi, keputusan itu dibuat dalam mesyuarat Pas yang diadakan di ibu pejabat parti di Kuala Lumpur pada Rabu.