X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 21 Mei 2022

Pas perlu beri penjelasan rasmi sebab pecat Khairuddin: Nik Abduh

Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz
A
A

SHAH ALAM - Di sebalik kontroversi pengguguran Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali sebagai Ahli Jawatankuasa (AJK) Pas Pusat, Ahli Parlimen Bachok, Nik Mohamad Abduh Nik Abdul Aziz tampil mempertahankan sahabatnya itu.

Nik Mohamad Abduh yang juga AJK Pas Pusat dalam hantaran di Facebooknya pada Selasa berkata, Pas seharusnya segera memberi penjelasan rasmi mengenai pemecatan Ahli Parlimen Kuala Nerus itu bagi membina persepsi yang baik kepada parti.

Ini kerana katanya, adalah menjadi hak rakyat untuk mengetahui sebab pengguguran Mohd Khairuddin yang dikaitkan dengan isu disiplin kerana ia membabitkan 'kerosakan' kepada akhlak berjemaah.

"YB Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali adalah seorang pemimpin Pas yang amat kuat menyokong usaha-usaha bagi memulihkan hubungan Pas dan UMNO dalam Muafakat Nasional (MN) yang semakin suram cahayanya.

"Apabila Datuk Seri Setiausaha Agung Pas (Datuk Seri Takiyuddin Hassan) dengan lantang menolak alasan pengguguran beliau daripada AJK Pusat atas faktor perselisihan antara MN dan Perikatan Nasional (PN), maka nyatalah ia adalah disebabkan hal lain. Ia masalah disiplin dalam parti.

"Jika masalah disiplin dalaman, maka penjelasan harus diberikan kepada publik, bukan hanya kepada ahli parti sahaja. Ia kerana pengguguran itu telah dimasyhurkan secara rasmi oleh pimpinan parti Pas. Bukan bocor atau viral sahaja," katanya.

Tambahnya, umum mengetahui Mohd Khairuddin merupakan antara figura utama pimpinan parti dengan kedudukannya sebagai bekas menteri daripada Pas dan kini masih memegang jawatan Setiausaha Majlis Syura Ulamak Pas.

"Tiga pihak yang akan terjejas atau rasa terhiris dengan 'pencalaran' tersebut. Diri beliau sendiri, para penyokong beliau atau pastinya Majlis Syura Ulamak Pas juga. Beliau memegang satu jawatan besar yang termaktub dalam Perlembagaan Pas.

"Justeru saya kira penjelasan rasmi harus diberikan segera. Ia boleh membina persepsi yang baik kepada parti Pas.

"Pas sekarang memerintah negara. Segala mesti telus apabila melibatkan ahli parti yang memegang amanah rakyat. Beliau adalah wakil rakyat Parlimen Kuala Nerus," katanya.

Pada Jumaat lalu, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang mengesahkan Mohd Khairuddin digugurkan daripada jawatan tersebut.

Abdul Hadi dilaporkan berkata, pengguguran mana-mana pemimpin adalah perkara biasa dalam Pas, termasuk diberhenti atau ditukarkan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!