X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Proton mahu perkenal kenderaan NEV smart di ASEAN

A
A

KUALA LUMPUR - Proton Holdings Bhd telah menandatangani memorandum perjanjian (MoA) dengan smart Automobile Co Ltd (smart) untuk memperkenalkan rangkaian Kenderaan Tenaga Baharu (NEV) keluaran smart dalam pasaran automotif ASEAN yang giat berkembang.

Pembuat kereta nasional itu dalam satu kenyataan hari ini berkata perjanjian tersebut akan menyaksikan kedua-dua pihak bekerjasama melalui Proton Edar, yang akan dilantik sebagai pengimport, pengedar dan wakil jualan smart di Malaysia serta Thailand, dan smart Automobile (Nanning) Sales Co Ltd (anak syarikat milik penuh smart Automobile), akan menenuhi peranan sebagai gerbang masuk kenderaan smart ke rantau ini.

"Dengan MoA ini, Proton mengambil langkah pertama dalam perjalanan strategik NEVnya. Kami akan dapat pengalaman dalam menjual, perkhidmatan dan pengecasan NEV selain mampu membina set kemahiran yang perlukan untuk menjadi penggerak dalam sektor NEV yang sedang berkembang pesat di ASEAN.

"Ini juga merupakan peluang dalam memanfaatkan pangkalan pelanggan smart, yang akan membuka lebih banyak peluang kepada jenama Proton,” kata Pengerusi Proton, Syed Faisal Albar.

Berdasarkan unjuran Agensi Tenaga Boleh Diperbaharui Antarabangsa (IRENA), pasaran NEV akan berkembang kepada sekitar 10 juta unit di Asia Tenggara menjelang 2025.

Dengan portfolio produk kenderaan elektrik yang baharu, yang akan dilancarkan pada tahun-tahun akan datang, smart akan berada pada kedudukan yang baik untuk memanfaatkan pertumbuhan di rantau ini, katanya.

Proton juga berkata MoA itu akan membolehkan Proton Edar mewujudkan rangkaian jualan dan perkhidmatan pelbagai peringkat di Malaysia serta Thailand, selain mengadakan pusat pengalaman jenama dan beberapa lokasi jualan, menyediakan pasaran tempatan dengan perkhidmatan jualan serta selepas jualan untuk NEV smart.

Pada masa ini, tiada rancangan untuk bekerjasama di luar prinsip perjanjian yang disetujui.

Pada 2019, smart Automobile diasaskan sebagai usaha sama antara Mercedes-Benz dan Kumpulan Geely China, yang mempunyai pegangan kawalan dalam Proton.

- Bernama


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!