Perjanjian maritim dengan Indonesia tidak libat blok Ambalat - PM

Anwar - Foto Bernama
Anwar - Foto Bernama
A
A
A

NILAI - Kerajaan tidak pernah menandatangani sebarang perjanjian maritim dengan Indonesia membabitkan kawasan yang disebut sebagai blok Ambalat.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, dakwaan yang mengatakan perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia yang ditandatanganinya dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo pada 8 Jun lalu membabitkan blok perairan itu adalah fitnah.

"Ada yang belum selesai (dimeterai) termasuk kawasan disebut Ambalat itu. Kawasan di Sabah, Pulau Sebatik pun belum selesai.

"Saya katakan dengan Jokowi, kita tandatangan yang sudah selesai sahaja. Yang maki hamun itu kenapa?," katanya ketika berucap pada majlis pelancaran Sentuhan Kasih Desa, Mini Karnival Usahawan Desa (KUD) di Dataran Nilai pada Sabtu.

Hadir sama, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan serta Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

Menurutnya, beliau telah jelaskan soal itu sebelum ini dalam Dewan Rakyat namun kerajaan terus difitnah menjual maruah negara.

Jelasnya, perjanjian ditandatangani hanya melibatkan perkara yang telah diselesaikan dan ia diputuskan melibatkan pelbagai pihak berautoriti antaranya Jawatankuasa Ukur dan Pemetaan, Kementerian Dalam Negeri, Kementerian Pertahanan dan Peguam Negara.

"Riuh rendah dibawa di luar. Di Parlimen tanya dengan baik dan kita jawab dia diam. Di luar fitnah kata kita jual maruah negara, cakap tak bertanggungjawab, kita khianat kepada negara.

"Itu tak betul. Indonesia siapa? jiran kita..satu rumpun dan sahabat. Dulu sebahagian besarnya (wilayah) satu negara, sama ada kerajaan Melayu Melaka, Johor Riau atau Majapahit, hubungan itu satu keluarga.

"Saya tidak mahu bermusuh dengan Indonesia. Saling bergantungan, malah kita mahu tingkatkan lagi hubungan persahabatan ini," ujarnya.

"Jadi bila kita runding, makan belas tahun, puluhan tahun sejak merdeka. Selama 18 tahun bincang pasal sempadan (maritim). Saya putuskan dengan Jokowi, instruksi dia kepada rakyat, selesaikan dengan segera," katanya.

Sebelum ini media melaporkan, Ahli Parlimen Indera Mahkota, Datuk Seri Saifuddin Abdullah menggesa Perdana Menteri dan Menteri Luar memberi penjelasan berhubung isu blok Ambalat selepas menandatangani perjanjian sempadan maritim Malaysia-Indonesia pada 8 Jun lalu.