ABIM kecam tragedi tembakan Christchurch: Gesa rakyat Malaysia pamer solidariti

Insiden ini turut mencederakan dua orang rakyat Malaysia.
A
A

ANGKATAN Belia Islam Malaysia (ABIM) mengutuk sekeras-sekerasnya kejadian tembakan ke atas umat Islam yang ingin mengerjakan solat Jumaat di Masjid Al-Noor serta Masjid Linwood di bandar raya Christchurch, New Zealand, semalami.

Setakat ini tragedi ini dilaporkan telah mengorbankan 49 nyawa di samping mengakibatkan kecederaan kepada 20 orang jemaah. Kenyataan rasmi Wisma Putra juga menyatakan tragedi ini turut mengakibatkan kecederaan kepada dua orang rakyat Malaysia yang turut berada di tempat kejadian.

ABIM menggesa hal ehwal keselamatan membabitkan rakyat Malaysia diberikan keutamaan sepenuhnya oleh pihak berkuasa New Zealand. Umum mengetahui New Zealand adalah negara yang menyaksikan rakyat berbilang kaum dapat menjalani kehidupan bersama secara harmoni sebelum ini.

Adalah amat penting kejadian seperti ini ditangani dengan tegas agar tidak menimbulkan ketegangan antara kaum serta agama di negara tersebut.

Memandangkan insiden ini turut membabitkan rakyat Malaysia, ABIM mengharapkan pihak kerajaan dapat memberikan maklumat rasmi terkini dari semasa ke semasa untuk mengelakkan sebarang kekeliruan akibat daripada penularan pelbagai video serta maklumat yang tidak sahih.

Atas dasar ini ABIM memohon agar seluruh rakyat Malaysia serta umat Islam dapat bertenang serta sama-sama mendoakan keselamatan dan kesihatan mangsa-mangsa yang terlibat.

Untuk itu ABIM menggesa rakyat Malaysia tidak menyebarkan sebarang video, gambar mahupun berita yang dikaitkan dengan kejadian berkenaan.

ABIM juga menggesa rakyat Malaysia tidak mencetuskan sebarang spekulasi dan khabar angin yang boleh menjejaskan hubungan antara kaum di negara ini.

Pada ketika rakyat Malaysia seharusnya mempamerkan solidariti mereka merentasi pelbagai agama dan bangsa untuk menolak sebarang keganasan yang cuba dijustifikasikan atas alasan nama agama dan bangsa.

* Mohamad Raimi Ab Rahim, Presiden, Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM)


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia

PENAFIAN:
SINAR HARIAN tidak bertanggungjawab terhadap pendapat yang diutarakan melalui artikel ini. Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya menggambarkan pendirian SINAR HARIAN. Terima kasih.