Iktibar perakaunan daripada RCI Tabung Haji

DI SEBALIK isu yang dibangkitkan dalam laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji, terdapat beberapa iktibar perakaunan yang boleh dijadikan panduan untuk melangkah ke hadapan.
Antara perkara perakaunan yang dilaporkan RCI ialah dasar rosot nilai yang tidak konsisten, kegagalan mengiktiraf kerugian rosot nilai atau kerugian nilai saksama bagi pelaburan tertentu, serta penggunaan ukuran yang dikenali sebagai Nilai Aset Boleh Direalisasi (Realisable Asset Value, RAV) untuk menilai sama ada hibah boleh diagihkan.
Penulisan ini bertujuan meningkatkan kesedaran masyarakat tentang perakaunan dan bukan untuk mengemukakan penyelesaian teknikal secara terperinci. Isu-isu ini mungkin kedengaran teknikal, tetapi kesannya lebih menjurus kepada tadbir urus dan kelestarian institusi.
Pertama sekali, kita perlu memahami bahawa penyata kewangan merupakan asas kepada proses membuat keputusan. Penyata kewangan membantu pembuatan keputusan lembaga, badan pengawal selia, pendeposit dan Kerajaan.
Penyata kewangan tidak seharusnya sekadar menjadi suatu formaliti, alat pematuhan simbolik atau kaedah untuk memenuhi kehendak undang-undang semata-mata.
Oleh itu, penyata kewangan mesti menggambarkan transaksi secara benar, sebagaimana yang dituntut oleh prinsip ’faithful representation’ iaitu gambaran yang benar dan boleh dipercayai. Bayangkan kesannya jika keputusan dibuat berasaskan pelaporan yang tidak benar dan tidak boleh dipercayai.
Prudence: Berhati-hati, bukan memilih angka
Faithful representation memerlukan maklumat yang lengkap, neutral dan bebas daripada kesilapan material. Prinsip ini juga disokong oleh konsep ‘prudence’ dan ‘substance over form’. Prudence adalah sikap berhati-hati dalam membuat pertimbangan.
Jadi, ‘prudence’ adalah sikap untuk tidak menyatakan aset secara sengaja pada nilai yang lebih tinggi atau liabiliti secara sengaja pada nilai yang lebih rendah. Pada masa yang sama, prudence juga tidak membenarkan andaian yang terlalu optimistik yang menangguhkan pengiktirafan kerugian atau meningkatkan nilai aset.
Apabila bukti menunjukkan bahawa sesuatu pelaburan telah mengalami penurunan nilai yang material, keperluan perakaunan yang berkenaan hendaklah dipatuhi dan kerugian perlu diiktiraf sebagaimana dikehendaki oleh piawaian perakaunan. Sesungguhnya dasar rosot nilai tidak boleh ditukar sewenang-wenangnya mengikut keperluan organisasi kerana ianya berlawanan dengan prinsip ’prudence’.
Kegagalan mengamalkan ’prudence’ boleh membawa kesan yang lebih memudaratkan, termasuk pengagihan dividen atau pulangan secara berlebihan. Perkara ini berlaku di Tabung Haji pada 2017 apabila institusi itu mengagihkan hibah berjumlah RM3.324 bilion, terdiri daripada hibah tahunan sebanyak 4.50 peratus dan hibah haji sebanyak 1.75 peratus menjadikan kadar keseluruhan 6.25 peratus bagi pendeposit yang layak.
Dilaporkan bahawa keputusan tersebut dibuat berdasarkan penggunaan RAV, yang sememangnya berbeza daripada angka dalam penyata kewangan teraudit.
Substance over Form: Realiti ekonomi mengatasi bentuk
RCI menyatakan bahawa tiada piawaian pasaran khusus bagi pengiraan RAV dan merumuskan bahawa pembayaran hibah dari 2014 hingga 2017 yang dihitung menggunakan ukuran tersebut tidak selaras dengan seksyen 22 Akta Tabung Haji 535.
Seksyen 22(3)(a) menetapkan satu perlindungan penting: keuntungan boleh agih tidak boleh diisytiharkan melainkan nilai aset melebihi liabilitinya. Walaupun seksyen 22 tidak mentakrifkan 'aset' dengan cara yang khusus, hal ini bukanlah suatu lesen untuk menggunakan sebarang kaedah pengukuran bagi menilai aset. Satu lagi prinsip yang menyokong ’faithful representation’ ialah ’subtance over form’.
Ini bermakna pelaporan perlu mencerminkan realiti ekonomi sesuatu transaksi dan tidak terhad kepada bentuk atau kedudukan undang-undangnya sahaja. Persoalannya, adakah RAV benar-benar mencerminkan realiti ekonomi transaksi tersebut? Berdasarkan pengetahuan saya tentang piawaian perakaunan, saya tidak pernah menemukan istilah 'Realisable Asset Value' sebagai suatu asas pengukuran aset yang ditetapkan dalam piawaian perakaunan.
Istilah yang paling hampir ialah 'Nilai Boleh Realis Bersih' (Net Realisable Value), yang digunakan dalam penilaian inventori dan asas realisasi bagi aset dan liabiliti dalam situasi pembubaran organisasi. Sesungguhnya alasan penggunaan kaedah yang berbeza menyebabkan nilai yang berbeza tidak dapat diterima kerana kaedah yang perlu digunakan adalah kaedah yang menyokong prinsip ’substance over form’.
Kita juga tidak seharusnya membandingkan kaedah perakaunan yang berbeza sifatnya. Pelaburan dalam subsidiari, seperti hubungan antara Petronas dengan Kumpulan Petronas Chemicals, memerlukan penyatuan dalam penyata kewangan kumpulan (Consolidated Financial Statements).
Kaedah ini tidak semestinya sama dengan pelaburan ekuiti dalam portfolio yang diklasifikasikan sebagai aset kewangan dalam kes Tabung Haji ini. Kaedah yang betul bergantung pada sifat kepentingan, rangka kerja pelaporan yang digunakan, dan jenis penyata kewangan yang disediakan.
Perbandingan antara Tabung Haji dengan kumpulan korporat besar lain, seperti Petronas dan Khazanah Nasional Berhad, hanya berguna jika perbezaan difahami dengan tepat.
Integriti pelaporan, amanah dan kepercayaan awam
Laporan RCI turut menawarkan iktibar yang lebih luas tentang apa yang disebut sebagai perakaunan kreatif. Piawaian perakaunan sememangnya memerlukan pertimbangan profesional, khususnya apabila pasaran tidak menentu dan aset sukar dinilai.
Namun begitu, pertimbangan profesional bukanlah lesen untuk mereka mengiktiraf hasil yang telah ditetapkan terlebih dahulu. Apabila dasar, pengelasan atau andaian penilaian diubah terutamanya untuk mengekalkan keuntungan yang dilaporkan atau mewajarkan sesuatu pengagihan, kreativiti berisiko bertukar menjadi manipulasi. Malah, piawaian perakaunan yang lebih terkini telah mengecilkan banyak ruang yang dahulunya membolehkan perakaunan kreatif dilakukan.
Sama ada sesuatu pendekatan dibenarkan atau tidak, penyedia penyata kewangan perlu bertanya kepada diri sendiri: 'Adakah saya melaporkan gambaran yang benar dan mematuhi undang-undang?' Soalannya bukan sekadar: 'Adakah saya sudah mematuhi undang-undang?' Bentuk perundangan tidak boleh dibiarkan mengaburi realiti ekonomi. Pematuhan di atas kertas tidak memadai sekiranya angka yang dilaporkan akhirnya mengelirukan pihak yang bergantung padanya.
Iktibar utama daripada RCI ialah kepercayaan awam bermula dengan pelaporan yang benar dan telus. Amatlah penting untuk kita berbalik kepada tujuan penyata kewangan dan prinsip asas pelaporan. Integriti pelaporan perlu menjadi budaya, bukan sekadar formaliti atau kepatuhan simbolik.
Selaras dengan peringatan al-Quran dalam Surah Ali 'Imran, ayat 112, 'hablun min Allah wa hablun min al-nas', akauntabiliti merangkumi hubungan kita dengan Allah serta tanggungjawab kita terhadap sesama manusia. Bagi sebuah institusi yang diasaskan atas amanah, pelaporan kewangan mesti menghormati kedua-duanya.
*Profesor Dr Nor Farizal Mohammed C.A. (M), FCCA ialah Profesor Pelaporan Kewangan, Fakulti Perakaunan, UiTM
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
