Dua kluster baharu libat pelajar Kolej Vokasional di Melaka

Akmal ketika ditemui di Kompleks Japerun Merlimau di Lipat Kajang pada Rabu.
Akmal ketika ditemui di Kompleks Japerun Merlimau di Lipat Kajang pada Rabu.
A
A
A

JASIN - Dua kluster baharu institut pendidikan dikesan di Melaka selepas 87 pelajar Kolej Vokasional di Melaka Tengah dan Jasin positif Covid-19.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr Muhamad Akmal Saleh berkata, dua kluster yang diisytiharkan itu ialah Kluster Jalan Tun Telani di Bukit Katil membabitkan seramai 76 pelajar iaitu 71 pelajar lelaki dan lima pelajar perempuan, manakala Kluster Kemendor Jasin melibatkan 11 pelajar perempuan.

Menurutnya, Kluster Jalan Tun Telani tercetus selepas seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun didapati bergejala selepas mendaftar masuk ke asrama pada 9 Januari lalu dan hasil ujian kendiri yang dilakukan mendapati indeks terbabit positif Covid-19.

Katanya, pada 14 Januari lalu Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Melaka Tengah menerima notifikasi daripada seorang tenaga pengajar kolej itu bahawa keputusan ujian kendiri pelajar tersebut positif Covid-19.

"Seramai 455 pelajar termasuk 118 guru dan warden telah menjalani ujian kendiri. Daripada jumlah itu 76 pelajar dikesan positif dan telah dibawa kuarantin di Pusat Kuarantin dan Rawatan Covid-19 Berisiko Rendah (PKRC) MITC.

"Mereka yang negatif pula masih dikuarantin di asrama sekolah sehingga 21 Januari ini selain seramai 176 kontak telah dikenal pasti," katanya ketika ditemui di Kompleks Japerun Merlimau di Lipat Kajang di sini, pada Rabu.

Mengulas lanjut beliau berkata, kluster itu dipercayai berpunca daripada ketidakpatuhan prosedur operasi standard (SOP) seperti tiada penjarakan fizikal di dalam kelas dan dewan makan yang tertutup.

Menurutnya, begitu juga kluster pendidikan di Jasin di mana seorang pelajar perempuan berusia 16 tahun yang mendaftar masuk pada tarikh sama dan mula bergejala selepas tiga hari kemudian.

Artikel Berkaitan:

"Dalam masa sama seorang rakan sebiliknya turut bergejala dan mereka berdua telah dihantar ke Hospital Jasin. Ujian RTK Antigen Covid-19 yang dilakukan mengesahkan kedua-dua mereka positif Covid-19.

"Lebih 500 individu termasuk pelajar, tenaga pengajar dan staf sokongan kolej itu telah menjalani ujian saringan dan seramai 33 individu masih menunggu keputusan manakala selebihnya negatif dan masih dikuarantin," katanya.

Dr Muhamad Akmal berkata, beliau menjangkakan kluster pendidikan berlaku peningkatan, namun ibu bapa tidak perlu bimbang dan elak hantar anak mereka ke sekolah sekiranya didapati bergejala.

"Kita sedang menyiasat perkara ini berkemungkinan jangkitan ini berpunca daripada sporadik.

"Bagaimanapun 99 peratus warga kolej itu telah menerima dos lengkap vaksin membuatkan rata-rata risiko jangkitan berada pada tahap satu dan dua," katanya.