X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Blok pembangkang Johor tolak PRN tawar komitmen kestabilan

Syed Saddiq, Aminolhuda dan Syed Ibrahim
A
A

JOHOR BAHRU- Pakatan Harapan (PH) Johor dan Ikatan Demokratik Malaysia (Muda) bersepakat menawarkan komitmen kestabilan kepada kerajaan negeri di bawah pimpinan Menteri Besar Datuk Hasni Mohammad.

Menerusi kenyataan dikeluarkan secara bersama melibatkan Pengerusi Amanah Negara Johor, Aminolhuda Hassan; Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Johor, Syed Ibrahim Syed Noh dan Pengerusi DAP Johor, Liew Chin Tong dan Pengasas Muda, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman, menegaskan perlaksanaan PRN di negeri ini adalah satu tindakan yang tidak munasabah.

"Hasil perbincangan bersama, blok pembangkang di Johor, kami menegaskan pendirian bahawa perlaksanaan PRN di negeri ini adalah suatu tindakan yang tidak mengutamakan kepentingan rakyat dan negeri.

"Blok pembangkang telah bersepakat untuk bersama-sama menawarkan komitmen kestabilan bagi memastikan kerajaan negeri dapat terus memberi sepenuh tumpuan terhadap kebajikan rakyat serta usaha-usaha memulihkan ekonomi negeri pada waktu sukar ini," menurut kenyataan itu pada Selasa.

Selain itu, blok pembangkang percaya tindakan mengadakan PRN adalah pembaziran yang sangat besar dari kerajaan kerana melibatkan anggaran kos sebanyak RM150 juta.

"Seharusnya, kerajaan menyalurkan segala sumber yang ada untuk melindungi kebajikan ekonomi rakyat, bukan kepentingan politik parti.

"Tidak ada keperluan mendesak membubarkan Dewan Undangan Negeri ( DUN). Pembangkang di negeri ini telah memberikan kerjasama sepenuhnya terhadap kerajaan pimpinan Hasni meskipun dengan perbezaan majoriti hanya satu kerusi di DUN," jelasnya.

Terdapat 56 kerusi di DUN Johor dengan agihan terkini adalah Umno dan DAP masing-masing 14, Bersatu (11), MIC (dua), Pas (satu) sementara Amanah (enam) dan PKR pula (tujuh).

Kerajaan Johor memiliki majoriti tipis dengan 28 kerusi berbanding 27 kerusi di blok pembangkang, selepas kematian ADUN Kempas, Allahyarham Datuk Osman Sapian pada Disember tahun lalu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!