X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 17 Mei 2022

PKR bincang isu PRN Johor Khamis ini

Amirudin (tengah) menyerahkan 1,000 bakul makanan sumbangan kerajaan Selangor bagi membantu mangsa banjir di Johor kepada Jimmy Puah (kiri) di Bandar Medini, Iskandar Puteri, pada Ahad.
A
A

ISKANDAR PUTERI - Isu Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan dibangkitkan dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Khamis ini.

Ahli Jawatankuasa PKR Pusat, Datuk Seri Amirudin Shari berkata, perbincangan itu nanti merangkumi semua perkara termasuk jumlah kerusi selain persiapan parti menjelang PRN tersebut.

Bagaimanapun beliau yang juga Menteri Besar Selangor berpendapat, PRN tidak sesuai diadakan ketika ini tetapi sebagai parti politik, pihaknya tetap bersedia kerana tidak mahu terperangkap dalam situasi yang tidak sepatutnya.

"Desas-desus ini (PRN Johor), kita ikut rapat. Di Johor dengan kerajaan yang tipis majoritinya, ada yang ingin ambil kesempatan dalam keadaan tidak sesuai sekarang.

"Saya masih berpaksikan kepada pandangan yang diutarakan Ketua Pembangkang Parlimen, Datuk Seri Anwar Ibrahim, tidak sesuai mengadakan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 dalam masa terdekat.

"Pandangan itu turut dikongsi dalam konteks PRN yang akan menelan belanja yang besar, pilihan raya itu sendiri berjalan dalam suasana tidak kondusif, selain kehadiran pengundi yang rendah, kaedah kempen yang terhad mahupun berlaku proses yang tidak menggalakkan," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas majlis serahan sumbangan 1,000 bakul makanan daripada kerajaan Selangor kepada mangsa banjir di Johor, di Bandar Medini di sini pada Ahad.

Turut hadir, Timbalan Pengerusi PKR Johor, Jimmy Puah Wee Tse dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semerah, Mohd Khuzzan Abu Bakar.

Mengulas lanjut, beliau berkata, PRN Johor mahu diadakan kerana pergolakan dalaman sebuah parti politik yang tidak ada kena mengena dengan PKR, justeru tidak wajar diteruskan kerana Johor masih berada dalam keadaan pandemik dan baru selesai diuji dengan banjir.

"Ini adalah permainan politik mereka yang mahukan supaya PRN diadakan. Tak pasti sejauh mana ia betul (PRN diadakan), PKR Johor dan Pusat perlu bersedia untuk menghadapi segala kemungkinan," katanya.

Ditanya mengenai kesan kepada Memorandum Persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik yang dimeterai sebelum ini sekiranya PRN Johor tetap dilaksanakan, Amirudin memberitahu, perkara itu tidak pernah dibangkitkan sebelum ini dan parti belum membuat keputusan mengenainya.

Beliau berkata, formula MoU itu boleh dilihat semula atau formula 'unity government' boleh diwujudkan bagi menyelesaikan persoalan ketidakstabilan politik serta menetapkan semula pemulihan ekonomi negara.

Katanya, semua parti politik perlu duduk semeja berbincang mengenai perkara itu demi kepentingan semua pihak.

"Mentang-mentang sekarang ini mungkin (sokongan) berpihak kepada sesuatu pihak, jadi mereka nak ambil tindakan. Mereka perlu adil dan 'gentleman' dalam berpolitik ini," katanya.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang
Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!