Pahang peruntuk RM10 juta Kad Kesihatan Warga Emas

Wan Rosdy menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang kepada salah seorang penerima pada majlis pelancaran inisiatif itu di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah,Kuala Rompin di sini pada Selasa.
Wan Rosdy menyampaikan Kad Kesihatan Warga Emas Pahang kepada salah seorang penerima pada majlis pelancaran inisiatif itu di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah,Kuala Rompin di sini pada Selasa.
A
A
A

ROMPIN - Kerajaan Negeri Pahang memperuntukkan RM10 juta tahun ini bagi melaksanakan program pemberian Kad Kesihatan Warga Emas Pahang atau Kad Kesihatan Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kasih) yang dilancarkan pada Selasa.

Inisiatif itu bakal memberi manfaat kepada 18,000 penerima.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kad dengan nilai RM500 itu boleh digunakan bagi rawatan prosedur am dan rawatan awal di klinik swasta seluruh negeri yang dilantik sebagai panel di bawah program tersebut.

Menurutnya, seramai 9,009 penerima Bantuan Orang Tua (BOT) Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Pahang bakal menerima kad itu untuk fasa pertama.

"Senarai 8,991 penerima selebihnya yang memenuhi syarat dan berkelayakan akan dimasukkan dalam senarai fasa kedua yang dijangka akan menerima manfaat itu bermula 1 Mac depan," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas Majlis Pelancaran Kad Kesihatan Warga Emas Pahang di Dewan Jubli Sultan Haji Ahmad Shah, Kuala Rompin di sini pada Selasa.

Pada majlis itu seramai 100 penerima dari daerah Rompin telah menerima kad masing-masing.

Turut hadir, Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Dr Sallehuddin Ishak dan Exco Perpaduan, Kebajikan Masyarakat, Pembangunan Wanita dan Keluarga Negeri, Datuk Seri Shahaniza Shamsuddin.

Artikel Berkaitan:

Wan Rosdy berkata, sebanyak 50 klinik swasta telah dikenal pasti dan dilantik sebagai panel seluruh negeri bagi memudahkan pemegang kad itu mendapat rawatan di klinik terdekat.

"Bagi pemberian fasa pertama kad kesihatan itu, Kuantan mencatatkan bilangan penerima tertinggi dengan 1,829 penerima diikuti Temerloh (1,408 penerima), Pekan (1,347 penerima), Lipis (996 penerima),Bentong (762 penerima),Raub (594 penerima), Bera (427 penerima), Cameron Highlands (257 penerima) dan Maran (166 penerima)," katanya.

Tambah beliau, pelaksanaan inisiatif itu akan terus ditambah baik dan diteruskan pada masa akan datang.

"Kerajaan negeri akan terus mengkaji dan menilai semula pelaksanaannya untuk ditambah baik pada masa akan datang," katanya.

Menurutnya, kerajaan selama ini telah menyediakan perkhidmatan perubatan hampir percuma di semua hospital dan klinik kerajaan kepada setiap lapisan masyarakat termasuk warga emas.

"Inisiatif kad kesihatan ini sebagai satu alternatif dan pelengkap kepada perkhidmatan sedia ada.

"Selain inisiatif ini, kerajaan negeri juga telah melancarkan Inisiatif Anak Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Kid) dengan peruntukkan RM5 juta.

"Selain itu, kita juga turut melancarkan Kad Diskaun Pelajar Kebanggaan Pahang (Pahang Pride Student) dengan peruntukan RM4.87 juta yang akan memberi manfaat kepada 48,711 pelajar dalam kategori keluarga miskin," katanya.

Penerima Kad Kesihatan Warga Emas Pahang itu, Mohd Noor Abdul Rahman, 70 dari Muadzam Shah di sini, dia berterima kasih kepada kerajaan negeri atas inisiatif itu.

Menurutnya, kad kesihatan itu satu kemudahan dan amat bermanfaat kepada golongan warga emas sepertinya untuk mendapatkan rawatan dengan lebih selesa.

"Dalam usia sebegini, sudah tentu tahap kesihatan tidak menentu dan sentiasa memerlukan rawatan.

"Saya memang selalu ke klinik bila tidak sihat dan memilih klinik kerajaan kerana murah walaupun terpaksa menunggu lama.

"Dengan adanya kad ini, saya dapat menerima rawatan di klinik swasta dengan lebih cepat dan selesa," katanya.

Pendapat itu turut dikongsi wanita warga emas Arfah Hamzah, 82 dari Kampung Leban Chondong di sini.

Menurutnya, dia tidak mampu untuk mendapatkan rawatan di klinik swasta sebelum ini kerana kosnya agak tinggi berbanding klinik kerajaan.

"Jika terdesak terutama pada waktu malam, terpaksa juga datang tapi dengan adanya kad ini, saya tidak perlu risau dan boleh mendapatkan rawatan lebih selesa pada bila-bila masa," katanya.

Bagi Leong Chiew Kan, 66, dia akan menggunakan sebaik mungkin kad kesihatan pemberian kerajaan negeri itu untuk kepentingan kesihatannya.

Dia yang mengalami masalah pendengaran mengakui kad itu amat berguna dalam keadaan kesihatannya yang kurang baik ketika ini.