X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Pemilikan saham: Ismail Sabri digesa nasihati Agong rehatkan Azam

Salahuddin (tengah) diapit Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar (kiri) dan ADUN Taman Templer, Sany Hamzan (kanan) bersama 20 ahli parti selepas menghantar memorandum kepada Ismail Sabri di Pejabat Perdana Menteri, dekat sini pada Isnin.
A
A

PUTRAJAYA - [KEMAS KINI] Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob digesa menasihati Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menggantung tugas Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki.

Timbalan Presiden Parti Amanah Negara, (Amanah), Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, ia susulan Azam yang kini berdepan dengan dakwaan pemilikan saham di dalam beberapa syarikat senaraian awam.

Menurutnya, langkah tersebut boleh dilakukan mengikut Perkara 40 (1), Perlembagaan Persekutuan bagi menggantung Azam daripada jawatannya sehingga siasatan bebas selesai.

"Tuanku, tolong titahkan sesuatu. "Something is rotten in the state of Denmark (sesuatu yang tidak betul sedang berlaku)," katanya.

Beliau berkata, penjelasan pemilikan saham oleh Azam adalah sangat mencurigakan.

"Saya harap (Azam) jangan bersandar, bergayut di pagar Istana. Memalukan negara," katanya kepada pemberita selepas menyerahkan memorandum kepada wakil Ismail Sabri, di pintu masuk Pejabat Perdana Menteri, dekat sini pada Isnin.

Salahuddin berkata, satu sidang khas Parlimen perlu segera diadakan bagi membincangkan dan membahaskan skandal tersebut.

"Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (PSC) sahaja tidak tak cukup untuk berbincang isu sebesar ini," katanya.

Ahli Parlimen Pulai itu berkata, apa pun alasan yang diberikan, rakyat tidak boleh menerimanya.

"Kami berjuang di atas prinsip integriti dan demokrasi mengambil tanggungjawab agar tindakan tegas boleh diambil," katanya.

Menurutnya, Seksyen 25 (4) Akta Perindustrian Sekuriti (Depositori Pusat) 1991 memperuntukkan sebarang pemilikan saham perlu dibuat di atas nama pemilik benefesial.

"Maka ia merupakan satu kesalahan pemilikan saham tersebut atas akaun milik Azam," katanya.

Tambah Salahuddin, meskipun didakwa milik adiknya, kegagalan Azam mengisytiharkan pemilikan saham mengikut Pekeliling 3, Tahun 2002 adalah suatu kesalahan.

"Azam boleh dikenakan tindakan tatatertib di bawah Peraturan Pegawai Awam (Melakukan dan Tatatertib) 1993 memandangkan Seksyen 5 Akta SPRM 2009 menetapkan jawatan Ketua Pesuruhjaya tertakluk kepada tindakan tatatertib anggota perkhidmatan awam," katanya.

Gesaan penggantungan tugas Azam oleh Salahuddin itu dilihat senada dengan Pengerusi Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR), Tan Sri Rais Yatim yang bersetuju dengan cadangan tersebut pada Jumaat lalu.

Sementara itu, Naib Presiden Amanah, Datuk Mahfuz Omar turut menggesa siasatan terperinci dilakukan terhadap dakwaan yang dihadapi Azam.

Katanya, sebagai Ketua Pesuruhjaya SPRM, Azam sepatutnya menangani rasuah namun sebaliknya timbul isu dakwaan yang sangat diragui.

"Kalau benar (milik adik Azam), daripada mana wang diperoleh untuk membeli saham-saham tersebut?" soalnya.

Ahli Parlimen Pokok Sena itu secara sinis berkata, fungsi polis, mahkamah, peguam negara (AG) boleh ditamatkan sekiranya semua pihak berpuas hati dengan penjelasan Azam.

"Kalau puas hati, tutup polis, mahkamah, AG.

"Negara kita negara bersistem, yang mempunyai mahkamah (prosiding), SPRM, polis dan AG," katanya.

Selain Salahuddin dan Mahfuz, turut menyertai penyerahan memorandum tersebut adalah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Taman Templer, Sany Hamzan.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!