Asap busuk: Penduduk sekitar tapak pelupusan sampah dipindahkan

Kon Yeow (empat dari kiri) melawat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram, Nibong Tebal pada Ahad.
Kon Yeow (empat dari kiri) melawat Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram, Nibong Tebal pada Ahad.
A
A
A
NIBONG TEBAL - Kira-kira 400 penduduk daripada 86 keluarga yang tinggal berhampiran Tapak Pelupusan Sampah Pulau Burung, Jalan Byram di sini yang terbakar pada Rabu lalu akan dipindahkan sementara selepas udara di kawasan berkenaan dikesan mengandungi gas yang boleh membahayakan mereka.

Exco Kebajikan, Masyarakat Penyayang dan Alam Sekitar negeri, Phee Boon Poh berkata, keputusan itu dibuat selepas Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow melawat tapak itu pada Ahad.

"Selepas meneliti laporan, arahan pemindahan telah diberikan.

“Pemindahan itu akan melibatkan 86 keluarga atau kira-kira 400 orang,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.

Boon Poh berkata, penduduk akan dipindahkan ke lokasi yang selamat berikutan ruang udara kawasan kediaman mereka kini dipenuhi asap busuk.

"Penduduk yang terjejas akan dipindahkan sementara ke sekolah yang terletak kira-kira tujuh kilometer dari tapak pelupusan sampah tersebut.

"Antara penduduk yang terjejas ialah dari Kampung Baru Byram, Kampung Changkat, Kampung Bagan Buaya, Kampung Titi Hitam, Kampung Pengkalan, Kampung Jawi dan Taman Perumahan Desa Jawi," katanya.

Tambahnya, Jabatan Alam Sekitar (JAS) Pulau Pinang telah melakukan pemantauan kualiti udara di tiga lokasi iaitu Masjid Daerah Seberang Perai Selatan, Dewan Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Changkat dan Dewan MPKK Kampung Kebun Baru.

"Selain itu JAS juga telah menempatkan stesen pengawasan kualiti mudah alih di Sekolah Jenis Kebangsaan (Tamil) Ladang Byram. Pemantauan mendapati udara mengandungi gas yang boleh memberi risiko kesihatan.
Artikel Berkaitan:


"Justeru itu, penduduk yang tinggal di lokaliti Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru dinasihatkan untuk berpindah buat sementara waktu. Dua pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu Sekolah Kebangsaan Saujana Indah dan Sekolah Kebangsaan Bakap Indah akan dibuka untuk penduduk Ladang Byram dan Kampung Kebun Baru.

"JAS akan terus membuat pemantauan kualiti udara dari semasa ke semasa. Orang ramai diingatkan untuk terus mematuhi nasihat kesihatan antaranya mengurangkan aktiviti luar, dapatkan rawatan di klinik atau hospital sekiranya mengalami gejala sesak nafas dan tidak sihat dan sentiasa memakai pelitup muka sekiranya berada di luar," katanya.

Pada 12 Januari lalu, tapak pelupusan sampah di Jalan Byram, Pulau Burung, Nibong Tebal terbakar dalam kejadian kira-kira jam 5 petang.

Anggaran keluasan tapak pelupusan adalah 16.2 hektar namun anggaran kawasan yang terbakar berkeluasan 6.5 hektar.

Ends.