Isu sampah kotor, busuk di lima kampung selesai

Juwairiya (dua dari kanan) dan Noor Halim (tiga dari kanan) menunjukkan lokasi pembuangan sampah baharu itu di Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor di sini pada Rabu.
Juwairiya (dua dari kanan) dan Noor Halim (tiga dari kanan) menunjukkan lokasi pembuangan sampah baharu itu di Kampung Bukit Kuching, Kuala Selangor di sini pada Rabu.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Masalah sampah haram yang menghantui penduduk di Jalan Sasaran Sungai Buloh, di sini selesai dengan kewujudan tapak baharu lebih sistematik dan mesra pengguna.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bukit Melawati, Juwairiya Zulkifli berkata, tapak sampah haram itu sebelum ini terlalu kotor dan berbau busuk selain berlaku mendapan tanah serta kemalangan jalan raya.

Menurut beliau, tapak sampah haram itu dikesan menjadi lokasi utama penduduk lima kampung membuang sampah sejak lima tahun lalu.

"Saya terima banyak aduan daripada penduduk dan pengguna jalan raya yang mengadu keadaan tapak sampah haram ini terlalu kotor dan berlaku perbuatan vandalisme di sini.

"Saya mengambil inisiatif turun padang pada Januari lalu untuk melihat sendiri aduan tersebut dan bersetuju untuk menyelesaikan masalah tersebut dengan segera," ujar beliau.

Juwairiya berkata, hasil semakan mendapati tapak itu merupakan rizab Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) dan telah mendapat kebenaran untuk penambahbaikan tapak sedia ada bagi pembuangan sampah.

Sehubungan itu, katanya, hasil perbincangan lanjut dengan pihak KDEB Waste Management (KDEBWM) dan Majlis Perbandaran Kuala Selangor (MPKS) bersetuju untuk diwujudkan tapak sampah lebih baik bagi memudahkan urusan pembuangan sampah oleh penduduk dan syarikat kontraktor.

Katanya, pelaksanaan projek itu dilaksanakan hasil program tanggungjawab sosial korporat (CSR) KDEBWM dengan kos kira-kira RM16,000 bagi penyediaan tapak dan tong sampah baharu.

"Projek ini sepatutnya siap dalam tempoh sebulan iaitu pada Februari lalu, namun mengalami kelewatan berikutan kerja-kerja tebatan banjir sedang dijalankan di kawasan ini.

"Kita memindahkan sedikit tapak sedia ada kira-kira 10 meter dari tempat asal dan berharap ia dapat menampung kira-kira tiga tan metrik sampah untuk 20,000 penduduk dengan kutipan sampah dilakukan KDEBWM sebanyak tiga kali sehari," jelas beliau.

Pengerusi Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK) Bukit Kuching, Noor Halim Miswan berkata, isu pembuangan sampah itu dihadapi penduduk Kampung Bukit Hijau, Kampung Bukit Cherakah, Kampung Bukit Kuching Tengah, Kampung Parit Mahang serta penduduk taman berhampiran sejak sekian lama.

Beliau menjelaskan, masalah itu berlarutan akibat kedegilan individu yang sengaja membuang sampah di tepi jalan itu biarpun telah disediakan beberapa tong sampah oleh pihak berkaitan.

"Kami bersyukur isu itu kini berakhir dengan adanya tempat pembuangan baharu yang lebih luas dan sistematik bagi kegunaan penduduk kampung," katanya.

Sehubungan itu, katanya, penduduk kampung termasuk beberapa taman perumahan berhampiran memanfaatkan kemudahan itu dan tidak melakukan vandalisme.