X

Kindly register in order to view this article
!

Jumaat | 20 Mei 2022

Suspek penggal kepala ibu terbabit jenayah dadah sejak empat tahun

Ramli (kiri) menunjukkan lokasi persembunyian suspek iaitu kira-kira 50 meter dari belakang rumahnya sebelum diberkas polis pada Sabtu.
A
A

KUALA SELANGOR - Suspek yang memenggal kepala ibunya hingga maut didapati terbabit dalam kegiatan penyalahgunaan dadah sejak empat tahun lalu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, beliau percaya suspek berusia 28 tahun mengalami gejala ketagihan hingga sanggup mencederakan dan memenggal kepala ibunya sendiri.

Menurutnya, polis dan penduduk berjaya menahan suspek yang melarikan diri ke semak iaitu kira-kira 50 meter di belakang rumah mangsa.

"Kita percaya suspek terlibat dalam pengambilan dadah sudah lama dan hasil ujian air kencing mendapati lelaki itu positif methamphetamine dan amphetamine," katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Ahad.

Ramli berkata, suspek juga mempunyai rekod lampau di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan kerana melakukan ugutan jenayah terhadap ibunya.

"Suspek pernah dipenjara atas kesalahan jenayah (506 Kanun Keseksaan) pada tahun 2014, namun tiada rekod narkotik direkodkan," katanya.

Beliau memberitahu, suspek yang merupakan anak ketiga daripada tujuh beradik tinggal bersama ibu dan bapanya selain beberapa ahli keluarga lain di rumah terbabit.

"Polis sedang menjalankan siasatan lanjut dan sedang merakam percakapan ahli keluarga lain bagi membantu siasatan," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut selepas anaknya bertindak kejam dengan memenggal kepala ibunya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!