Anak minta bantuan jiran selepas lihat darah pada mayat ibu

Ghazali (gambar kecil) memaklumkan dia tidak mendengar apa-apa bunyi mencurigakan walaupun jarak rumahnya dan tempat kejadian hanya 40 meter.
Ghazali (gambar kecil) memaklumkan dia tidak mendengar apa-apa bunyi mencurigakan walaupun jarak rumahnya dan tempat kejadian hanya 40 meter.
A
A
A

KUALA SELANGOR - Salah seorang anak mangsa penggal sempat meminta pertolongan jiran untuk datang ke rumah selepas terdapat kesan darah pada mayat ibunya di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Jirannya, Ghazali Atan, 64, berkata, kejadian itu dimaklumkan anak perempuan mangsa yang ke rumahnya pada kira-kira jam 5 petang.

Menurutnya, anak mangsa ketika itu seolah panik dan tidak tahu berbuat apa-apa selepas melihat wanita itu kaku tidak bernyawa.

"Semasa kejadian saya tidak mendengar apa-apa meskipun jarak rumah saya dan tempat kejadian hanyalah 40 meter," katanya kepada Sinar Harian pada Ahad.

Ghazali berkata, sejurus mengetahui kejadian itu, dia dan isterinya, Rokiah Mainal, 57, serta beberapa penduduk berhampiran terus ke tempat kejadian.

"Sebaik berada di pintu depan rumah, saya dapati terdapat kesan darah pada lantai ruang tamu dan kemudian terus beredar di tempat kejadian kerana tidak berani melihat darah," katanya.

Ujarnya, kejadian itu amat mengejutkannya apatah lagi baru menetap di kampung itu sejak tiga bulan lalu.

"Saya sudah mengenali mangsa lama, dia seorang yang peramah, selain sering memberi kami beras dan sebagainya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Sinar Harian sebelum ini melaporkan, seorang wanita maut selepas anaknya bertindak kejam dengan memenggal kepala ibunya dalam kejadian di Kampung Baru Pasir Penambang di sini pada Sabtu.

Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Ramli Kasa berkata, pihaknya menerima maklumat kejadian pada jam 5.45 petang.

Menurutnya, siasatan mendapati mangsa berusia 56 tahun dibunuh anaknya berusia 28 tahun dalam kejadian di ruang tamu berikutan terdapat kesan darah dalam rumah tersebut.