X

Kindly register in order to view this article
!

Sabtu | 25 Jun 2022

Remaja curi tabung masjid: PDRM serah kepada Mahkamah Tinggi

Razarudin
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Diraja Malaysia (PDRM) menyerahkan kepada Mahkamah Tinggi Shah Alam bagi menyemak semula kes seorang remaja yang tular selepas dimandikan seperti 'jenazah' akibat cuba mencuri tabung sebuah masjid di Rawang, Selangor.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain, berkata kes terbabit dikendalikan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Majistret menjatuhkan hukuman ke atas remaja terbabit pada Khamis lalu.

"Polis tidak boleh beri pandangan begitu sahaja apatah lagi Mahkamah Tinggi Shah Alam dilaporkan akan menyemak semula hukuman yang dijatuhkan ke atas remaja berkenaan.

"Biarlah Mahkamah Tinggi semak dahulu hukuman remaja berkenaan yang dilaporkan esok.

Buat masa ini PDRM tidak mahu mengulas mengenai kes ini.

"Siasatan polis sudah selesai dan remaja berkenaan juga sudah dituduh di mahkamah, kita tunggu keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam esok," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Johor dan Pengerusi Persatuan Keluarga Polis (Perkep ) Kontinjen Johor, di sini, pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat dan Timbalan Ketua Polis Johor, Datuk Khaw Kok Chin.

Remaja terbabit, Daniel Iskandar, 19, dipenjara 10 hari dan denda RM4,000 oleh Mahkamah Majistret Selayang pada Khamis selepas mengaku bersalah terhadap pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Hukuman terhadap remaja itu dijatuhkan selepas dia mengaku bersalah cuba mencuri tabung Masjid Al Islahiah dengan mengheret dan menyorokkan tabung itu di dalam bilik mandi jenazah di masjid berkenaan di Kuang, Rawang dekat sini pada 11.58 malam, 8 Januari lalu.

Pada Isnin lalu, tular video memaparkan seorang remaja dimandikan seperti jenazah selepas ditangkap kerana mencuri tabung di Masjid Al Islahiah Kuang, Rawang.

Remaja terbabit turut dilumur dengan kapur barus oleh beberapa individu dipercayai ahli jawatankuasa pengurusan masjid dan diawasi oleh beberapa penduduk kampung berkenaan.

Berikutan itu wujud perdebatan umum di laman sosial apabila ada pihak menyokong tindakan pengurusan masjid itu sebagai pengajaran dan sebaliknya kerana ia disifatkan tidak menghormati undang-undang.

Mahkamah Tinggi dilaporkan akan menyemak keputusan kes remaja lelaki itu.

Pendengaran semakan terhadap keputusan Mahkamah Majistret Selayang yang menjatuhkan hukuman itu ditetapkan Isnin di Mahkamah Tinggi Shah Alam.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!