Tidak tolak berlaku perubahan agihan kerusi: Aminuddin

Aminuddin Harun
Aminuddin Harun
A
A
A

PORT DICKSON - Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan tidak menolak kemungkinan berlaku perubahan agihan kerusi di negeri ini selepas Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memperaku dan mewartakan daftar pemilih pengundi 18 tahun ke atas.

Pengerusi PH Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun berkata, perubahan peringkat negeri dan pusat itu mengambil kira pengundi berumur 18 tahun ke atas seramai 5.8 juta orang di negara ini sekali gus menjadi penentu kerajaan dan pemimpin.

"Kuasa mereka untuk mengangkat atau mencampak lebih-lebih lagi dengan kehadiran pengundi muda yang belum pernah berdaftar. Mereka yang menjadi penentu landskap politik negara.

"Jadi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) kali ini amat menarik dan tiada siapa pun pada boleh mengatakan 'aku akan menang' tetapi inilah penentu masa depan dan cabaran kepada parti dan ahli politik," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di sini pada Ahad.

Hadir sama, Ketua Wanita PH Negeri, Nicole Tan Lee Koon.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan seramai 5.8 juta bakal pemilih berusia 18 tahun ke atas diminta membuat Semakan Pra-Pendaftaran Pemilih Automatik (SPPA) selama sebulan mulai 1 Oktober tahun lalu.

Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak berkata, mereka yang terlibat perlu menyemak dan mengesahkan maklumat.

Artikel Berkaitan:

Aminuddin (tiga dari kiri) selepas merasmikan Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di sini pada Ahad.
Aminuddin (tiga dari kiri) selepas merasmikan Konvensyen Wanita PH Negeri Sembilan 2022 di sini pada Ahad.

Aminuddin yang juga Menteri Besar Negeri Sembilan berkata, pihaknya optimis dalam mempertahankan 20 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) di negeri ini yang dimenangi parti ini pada PRU-14 yang lalu.

"Selain itu, kita sedang bekerja kuat untuk menambah bilangan kerusi bagi mentadbir kerajaan negeri untuk penggal seterusnya.

“Kita ada beberapa tempat yang berpotensi untuk menang selain kehadiran pengundi muda nanti juga, saya nampak ada peluang terbuka, semua pihak harus bekerja dan tidak harus mendabik dada," katanya.

Dalam pada itu, Nicole dalam ucapannya berkata, jentera wanita akan bersiap siaga untuk memperkuatkan jentera PRU-15.

"Percayalah gabungan mantap parti-parti anggota Parti Keadilan Rakyat (PKR),Amanah dan DAP dalam PH dipandang dengan penuh harapan oleh rakyat. Rakyat menilai pencapaian kita.

"Justeru, kita harus mengatur gerak kerja awal, mantap dan luar biasa supaya momentum sokongan dapat ditambah menjelang PRU-15," katanya.

TAMAT.