TLDM penuhi 100 peratus operasi rutin

Armada laut negara membuktikan komitmen mereka menerusi kejayaan melaksanakan 100 peratus operasi rutin dan berkala termasuk Ops Benteng membabitkan Armada Barat dan Armada Timur, tahun lalu.
Armada laut negara membuktikan komitmen mereka menerusi kejayaan melaksanakan 100 peratus operasi rutin dan berkala termasuk Ops Benteng membabitkan Armada Barat dan Armada Timur, tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Kesiapsiagaan aset dan personel Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) berada di tahap memuaskan namun masih belum mencapai sasaran yang ditetapkan.

Panglimanya, Laksamana Tan Sri Mohd Reza Mohd Sany berkata, armada laut negara membuktikan komitmen mereka menerusi kejayaan melaksanakan 100 peratus operasi rutin dan berkala termasuk Ops Benteng membabitkan Armada Barat dan Armada Timur, tahun lalu.

Bagaimanapun menurutnya, masih banyak aspek yang perlu dipertingkatkan untuk memastikan tahap kesiagaan TLDM mampu mencapai tahap tertinggi.

"Tahun 2021 telah menuntut kita memberi 100 peratus komitmen terhadap tugas kita dalam mempertahankan negara tercinta.

"Namun, dalam mendepani pelbagai cabaran ini, ia telah memberi peluang kepada kita untuk membuktikan komitmen, daya tahan dan kecekapan TLDM," katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata, pelbagai inisiatif dilaksanakan pihaknya untuk meningkatkan kebolehan aset-aset untuk memenuhi keperluan operasi termasuk beberapa program pembaikan yang dirancang dan dilaksanakan sepanjang tahun 2021.

"Program Repowering telah dilaksanakan ke atas lima buah kapal dan tiga bot tempur iaitu hasil pelaksanaannya telah berjaya meningkatkan keupayaan kuasa gerak aset tersebut, ke tahap yang jauh lebih baik," katanya.

Katanya, pelaksanaan program tersebut bukan sahaja mempertingkatkan keupayaan operasi armada laut malah menjimatkan sumber kewangan negara

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, pihak TLDM pada tahun 2021 berjaya menguruskan dengan berhemah peruntukan yang diterima sebanyak RM2.91 bilion bagi belanja mengurus (OE) dan belanja pembangunan (DE).

"Untuk tahun ini, TLDM diperuntukkan sebanyak RM2.82 bilion merangkumi RM1.62 billion bagi Belanja Mengurus (OE) dan RM1.20 billion bagi Belanja Pembangunan (DE).

"Walaupun jumlah tersebut berkurang sebanyak RM90 juta (3.1 peratus ) berbanding 2021, saya mahu setiap pengurus pusat tanggungjawab (PTJ) merangka strategi untuk memastikan peruntukan ini dibelanjakan secara lebih baik dan berhemah," ujarnya.