Syarikat diasaskan suami Heliza Helmi didakwa jalankan urusan sekuriti tanpa lesen

KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Syarikat AUF MBZ Consortium PLT (AUF MBZ) yang diasaskan usahawan, Datuk Mahadi Badrul Zaman atau lebih dikenali sebagai Mahadi BZ mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Khamis, atas dua pertuduhan menjalankan urusan dalam aktiviti terkawal sekuriti tanpa lesen.
Mahadi, 43, yang juga suami kepada penyanyi dan aktivis, Datin Seri Heliza Helmi membuat pengakuan itu, sebagai wakil syarikat berkenaan selaku orang kena saman (OKS) selepas semua pertuduhan dibaca di hadapan Hakim Izralizam Sanusi.
Mengikut dua pertuduhan, syarikat tersebut didakwa menjalankan urusan aktiviti terkawal iaitu berniaga dalam sekuriti sedangkan ia bukan pemegang Lesen Perkhidmatan Pasaran Modal dan berdaftar bagi aktiviti terkawal berniaga sekuriti.
Kesalahan didakwa dilakukan di Sunway South Quay, Subang Jaya, Selangor antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024.
Pertuduhan dibuat bawah subseksyen 58(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007 dan boleh dihukum bawah subseksyen 58(4) akta sama.
Sekiranya didapati bersalah, syarikat itu boleh didenda tidak melebihi RM10 juta atau penjara maksimum 10 tahun atau kedua-duanya.
Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya daripada Suruhanjaya Sekuriti (SC), K Mageswary berkata, pendakwaan tidak mengenakan sebarang ikat jaminan kerana pertuduhan dibuat terhadap syarikat dan bukannya individu.
"Saya mohon dua kes ini dipindahkan ke mahkamah lain di hadapan Hakim Azrul Darus dan Hakim Norma Ismail, untuk dibicarakan bersama kes terdahulu," katanya.
Sementara itu, peguam, Datuk Mohd Zamri Mohd Idrus tidak membantah permohonan tersebut.
Izralizam kemudiannya membenarkan permohonan berkenaan dan menetapkan sebutan semula kes pada 10 April.
Pada Isnin lalu, Mahadi didakwa atas dua pertuduhan, sebagai wakil syarikat sama, menjalankan perniagaan sekuriti dalam kes serupa.
Sehingga jam 1 petang, usaha pihak media untuk mengambil gambar Mahadi selepas prosiding gagal, selepas ahli perniagaan itu masih meneruskan urusan di mahkamah terbabit.
Ringkasan AI
- Syarikat AUF MBZ Consortium PLT dituduh menjalankan aktiviti sekuriti tanpa lesen
- Datuk Mahadi Badrul Zaman wakil syarikat, mengaku tidak bersalah
- Kesalahan berlaku antara 14 Jun 2021 dan 15 Februari 2024 di Subang Jaya
- Sekiranya bersalah, boleh didenda hingga RM10 juta atau penjara 10 tahun
- Kes dipindahkan ke mahkamah lain untuk dibicarakan bersama kes terdahulu
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!

