KPDHNEP laksana stok penimbal gula putih elak masalah bekalan

Alexander Nanta Linggi
Alexander Nanta Linggi
A
A
A

SHAH ALAM - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) telah melaksanakan stok penimbal gula putih bertapis bermula 1 Januari lalu bagi mengelakkan masalah bekalan gula di pasaran pada masa hadapan.

Menterinya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, kilang yang terlibat adalah Central Sugar Refinery Sdn Bhd (CSR) dan MSM Malaysia Holdings Bhd (MSM).

Menurutnya, keputusan tersebut dibuat setelah negara mengalami isu perbekalan gula beberapa kali kebelakangan ini ekoran daripada pelbagai faktor seperti penutupan kilang, jangkitan Covid-19 terhadap pekerja kilang dan kerosakan kepada mesin boiler.

“Berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia, penggunaan gula domestik dianggarkan sebanyak 0.65 kilogram (kg) sebulan per kapita dan menjadikan jumlah tahunan yang diperlukan dianggarkan sebanyak 255,450MT setahun bagi keperluan 32.75 juta rakyat Malaysia.

“Bagi pengeluaran kedua-dua syarikat pengilang gula (CSR dan MSM) pula adalah sebanyak 1,500,000MT setahun mencukupi untuk kegunaan rakyat Malaysia dan kegunaan industri di Malaysia,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Mengulas lanjut, beliau berkata, selaras dengan Peraturan 12A, Peraturan-Peraturan Kawalan Bekalan 1974, CSR dan MSM juga telah diarahkan untuk melaksanakan stok penimbal berjumlah 53,000MT bagi gula putih bertapis pada setiap masa.

“Hanya digunakan apabila berlaku kekurangan bekalan di sesuatu kawasan selaras dengan Arahan Pengawal Bekalan,” tegasnya.

"Antara mekanisme kawalan stok penimbal pula, kuantiti gula pasir putih bertapis disimpan secara stok terapung (floating stocks) pada kadar yang ditetapkan selama 11 hingga 15 hari," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, pemantauan berterusan akan dilakukan berdasarkan pelaporan yang dikemukakan oleh pengilang bagi memastikan kuantiti stok simpanan (stockpile) sentiasa berada pada kadar yang ditetapkan.

“Kegagalan mematuhi arahan boleh menyebabkan tindakan dikenakan di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961 yang membawa hukuman denda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali bagi kesalahan kali pertama.

“Bagi kesalahan kali kedua dan seterusnya, denda tidak melebihi RM3 juta atau penjara tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya sekali,” ujarnya.

Sehubungan itu, beliau berkata, pelaksanaan stok simpanan gula putih bertapis dijangka dapat membantu untuk mengelakkan gangguan terhadap bekalan gula sekali gus mengelakkan pihak yang tidak bertanggungjawab mengambil kesempatan menaikkan harga dan menyimpan stok gula ketika berlaku krisis gangguan gula.