Mahu kejar trip, jimat kos alasan lori bawa lebih muatan

Hanif Yusabra menunjukkan lampu merah digunakan sebuah lori yang merupakan satu kesalahan.
Hanif Yusabra menunjukkan lampu merah digunakan sebuah lori yang merupakan satu kesalahan.
A
A
A

SEREMBAN - [DIKEMAS KINI] Mahu mengejar trip dan menjimatkan kos antara faktor utama kebanyakan lori membawa muatan lebih sehingga mengundang bahaya kepada pengguna jalan raya lain.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Negeri Sembilan, Hanif Yusabra Yusuf berkata, berdasarkan statistik tahun lalu, daripada 30,859 kesalahan melibatkan kenderaan barangan direkodkan, sebanyak 7,801 adalah kesalahan lebih muatan.

"Ada yang membawa muatan menyamai dua buah lori dan bagi kesalahan itu boleh dikenakan tindakan mengikut Seksyen 57(1)(b)(vi) Akta Pengangkutan Awam Darat 2010.

"Sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman denda mengikut Seksyen 57(3) akta sama iaitu tidak kurang dari RM1,000 dan tidak lebih RM500,000," katanya dalam sidang akhbar selepas Operasi Halangan Bersepadu di Hentian Senawang arah utara di sini, pada Khamis.

Menurutnya, sepanjang tahun lalu, sebanyak 65,932 buah kenderaan barangan diperiksa dan sebanyak 13,572 diambil tindakan atas pelbagai kesalahan.

Kata beliau, sebanyak 8,271 adalah kesalahan teknikal, (6,682) kesalahan pelesenan pemandu, (3,685) kesalahan pelesenan kenderaan, (1,697) kesalahan muatan bahaya dan (2,723) bagi lain-lain kesalahan.

Sementara itu, katanya, berdasarkan statistik polis, sebanyak 2,155 jumlah kemalangan jalan raya melibatkan kenderaan barangan di Negeri Sembilan direkodkan tahun lalu.

Tambah beliau, daripada jumlah itu, sebanyak 1,766 adalah melibatkan lori rigid dan 389 pagi melibatkan treler.

Artikel Berkaitan: